Tampilkan postingan dengan label TELUR. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label TELUR. Tampilkan semua postingan

Cheezy egg in potato cup

Assalamualaikum buat semua.  Apa kabar. Sudah sebulan lebih tidak menjenguk dan bertanya kabar. Hendak kata sibuk tidak juga.  Lebih kepada kelesuan daya untuk menulis. Masak tetap masak tapi keinginan untuk mengambil gambar tidak ada.  Begitu juga keinginan untuk membuka laptop. Semuanya malas.

Harap kemunculan harini dapat melepaskan rindu (ahaks).. Rindu bundo untuk menulis lah.
Masakan ni namanya saja yang gempak. Istimewanya takde mana pun. Tapi oleh sebab budak-budak kat rumah ni memang suka telur, makan bundo pelbagaikanlah cara masak telur.



Apa yang diperlukan untuk membuat mendaalah ni:
3 biji ubi kentang diparut halus
6 biji telur
carrot diparut halus
1 biji cili merah dicincang  kecil
1 batang celery didadu kecil
sedikit garam
sedikit lada hitam
mozarella cheese
muffin baking pan




Sapu baking pan dengan sedikit majerin.
Ubi kentang yang telah diparut digaul dengan sedikit garam.  Susun ubi kentang didalam lubang tray dengan cara menyusunnya supaya berupa seperti mangkuk.
Bakar sehingga masak dan garing. (bundo nak cepat dan kentang yang bundo masak tak cukup garing)
Bila masak, keluarkan dan bagi sejuk.
Pecahkan telur dalam setiap  bakul ubi kentang.
Bubuh garam dan lada hitam. 
Taburkan cili, carrot, celery dan cheese.  Lagi banyak cheese lagi kaw.




Kemudian, masukkan semula ke dalam oven.
Bakar sehingga sempurna masak. Kalau suka kuning yang cair cair, tak payahlah masak lama-lama.
Boleh dimakan begitu saja dengan roti atau makan dengan nasi.


Sekian buat kali ini.  kalau rajin kita jumpa esok.  Kalau malas kita jumpalah bila-bila hehe.. Selamat menyambut ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi.
Love you all.


ibundo

Kurma Telur Kubis

Rumah kampung kami yang lama bertiang tinggi. Cukup tinggi untuk bundo yang ketika itu berumur 6 tahun berlari ke sana sini di bawah rumah. Budak kampung yang tidak faham akan erti kebersihan bersahaja saja memijak tanah kotor berkaki ayam mencari-cari entah apa di situ. Memang patut pun pusat selalu gatal dan bengkak dihuni hama. Emak akan mencungkil-cungkil dengan kapas menggunakan minyak kelapa untuk mengeluarkan hama sebesar mata jarum peniti itu.

Di satu sudut di bawah rumah itu terdapat satu tin minyak besar yang telah dibelah dua dan di atasnya diletak beberapa helai kain buruk.  Di situlah tempat ayam betina bertelur dan mengeram. Bundo akan mengintai-intai ke dalam bekas itu setiap kali ibu ayam 'berketok-ketok' menandakan dia baru saja bertelur. Sekiranya ibu ayam berdegil tidak mahu nyah dari situ bundo akan memasukkan tangan bundo dibawah badan ayam sehinggalah bundo dapat meraba telur ayam yang masih hangat.

Bundo akan mengambil sebiji, memecahkan hujungnya dan menyedut terus telur itu dari lubang kecil yang bundo buat. Tidak tahu kenapa bundo begitu suka makan telur mentah yang baru saju keluar dari perut ayam. Ketika bundo mula membuat 'aktiviti' sedemikian umur bundo 4 atau 5 tahun.  Begitulah menurut cerita mak dan abah. Dan ia berlarutan sehinggalah pada satu hari bundo tersalah mengambil telur. Bundo terambil telur tembelang yang baunya merahang sebaik saja mencecah anak tekak.  Selepas itu bundo jadi jeran dan terus berhenti.




Telur memang menjadi kegemaran anak-anak bundo. Ada yang suka makan telur putih sahaja.  Ada yang suka makan yang putih dan yang kuning.  Bundo kalau diberi pilihan, suka makan telur kuning walaupun dikatakan telur kuning mempunyai kolesterol yang banyak.

Kalau makan telur mata kerbau kami suka makan telur yang kuningnya masih cair. Perangai bundo kalau makan telur goreng seperti ini, bundo akan makan yang putih dahulu sehingga habis dan tinggalkan yang kuning sahaja. Kemudian dengan penuh nikmat bundo akan memasukkan yang kuning yang masih belum pecah ke dalam mulut dan 'pop!' memecahkannya di dalam mulut dan telur kuning mencair memenuhi ruang mulut. Bundo akan kata mmmmm... sambil lelap-lelap mata.
Anihnya, ada anak yang mengikut. Kalau mahu tahu nikmatnya, cubalah.

Resepi hari ini:
6 biji telur direbus keras dan dikupas kulitnya
Beberapa pelepah kubis dipotong sederhana besar
1 bungkus kecil rempah kurma
200 gm santan siap
1 cawan air
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
beberapa hiris halia
2 biji cili merah dihiris kasar
1 biji cili hijau dihiris kasar.
1 sudu besar bawang goreng
1 sudu besar serbuk ikan bilis
1 sudu kecil jus limau nipis
garam secukupnya




Panaskan sedikit minyak. Tumis halia, bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau. Masukkan rempah kurma yang dibancuh dengan sedikit air.
Apabila rempah masak dan naik bau, masukkan santan dan air.
Bila mendidih, masukkan pula kubis dan telur. Kemudian masukkan jus limau nipis, garam dan serbuk ikan bilis.
Tambah cili dan bawang goreng sebelum matikan api.

Sekian.


ibundo