Tampilkan postingan dengan label ikan. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label ikan. Tampilkan semua postingan

Pais ikan cendawan shitake

Salam dan selamat menjalani puasa sunat kamis bagi yang berpuasa.
Sudah bersedia untuk menghadapi Ramadhan yang bakal menjelang tiba? Mudah-mudahan dengan izinNya kita semua berkesempatan untuk kembali menyambut Ramadhan bulan yang penuh keberkahan.

Apa kata kita jadikan pais ini sebagai salah satu menu berbuka. Untuk menyediakannya takde lah susah sangat. Bahan pun tak perlu bersusah payah.  Pakai apa yang ada di dapur pun kira okay.




Bahan A:
4 ekor ikan cencaru dibuang tulang dan potong kecil. (boleh guna ikan lain.  Ikan ni saja yang ada dalam peti ais)
10 biji cendawan shitake dihiris nipis
50 gm santan pekat
1 sudu teh serbuk stok ayam
1 biji telur
1 helai daun kunyit dihiris halus
6 helai daun limau purut dihiris halus
2 batang daun bawang dihiris halus
garam secukupnya
1 sudu besar  jus lemon

Daun pisang secukupnya

Bahan B:
Bumbu halus (blender)
8 ulas bawang merah
4  ulas bawang putih
3 biji buah keras
2 biji cili merah besar
2 biji cili api (kalau suka)
1/2 inci halis
1/2 inci kunyit
2 batang serai





Blender semua bahan kisar.  Masukkan ke dalam mangkuk berisi bahan A.
Gaul rata. Rasakan garamnya.
Bila dah kira okay, bungkus dalam daun pisang dan kukus sampai masak.

Boleh juga kalau nak buat pais dua dalam 1.
Letak sedikit nasi di atas daun pisang dan letak pula isi ikan bersebelahan.  Bungkus dan kukus.  Jadilah seperti gambar yang ada nasi tu.



Sekian. Bundo ni rasa macam kelamkabut je. Tak reti nak cerita panjang-panjang. Update ni kira okalah jugak kan?


ibundo

Cencaru belah belakang

Susah benar mencuri masa untuk menulis di sini. Sudah jauh ketinggalan bundo ini daripada menjadi bloger tegar yang kerap memasukkan n3 baru buat tatapan anda semua..(er.. itupun kalau ada yang berminat untuk menjenguk apatah lagi menatap).

Apa kabar.
Diharap panas yang membahang dan kadang-kadang diikuti dengan hujan lebat tanpa amaran tidak membuatkan anda semua sakit tekak sebab terlalu banyak minum air batu.  Ah.. nikmatnya meneguk air es ketika baju melencun dengan peluh, tekak kering dibakar bahang mentari.. Ada kalanya terasa macam dipanggang di dalam panas terik. Mata ternampak-nampak ayam yang bergolek-golek berputar di dalam pemanggang di kota Mekah yang dulunya bertahun-tahun berharga sepuluh riyal tetapi kebelakangan ini sudah naik harga berbelas riyal. Rindunya.



Hot white coffe yang bundo teguk pagi tadi benar-benar menjalar di setiap urat dalam badan. Sebab itu cakap merapu.  Sebenarnya bundo elergic dengan cofee.. boleh weng weng.



Ikan cencaru sumbat memang menjadi kegemaran ramai orang kan? Lain orang lain cara membuatnya. Basicnya sama, yang lain cuma olahan. Cara bundo mungkin sama dengan cara anda. Tapi bundo letak jugalah di sini buat rujukan sesiapa saja terutamanya anak-anak bundo.

4 ekor ikan cencaru dibelah belakang (tak payah buang kulit keras)
1 cawan kelapa parut.
1 sudu besar udang kering
2 batang serai dihiris
2 biji cili merah (boleh ganti dengan cili api kalau nak pedas)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
sedikit serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk ikan bilis
garam secukupnya
2 biji limau kasturi diambil jusnya

Cara:
- udang kering direndam dengan air panas.  Toskan dan goreng tanpa minyak.
- Blender udang kering, serai, cili, bawang putih, bawang merah. Campurkan bahan blender dengan kelapa parut.
- Tambah serbuk kunyit, serbuk ikan bilis, garam dan jus limau. Gaul rata.
- Goreng sebentar tanpa minyak dalam kuali. Angkat dan biar sedikit sejuk.
- Sumbat ke dalam ikan dan bakar di atas grill sehingga masak.



Mungkin anda suka cicah dengan air asam.  Bundo suka cicah dengan kicap yang dicampur hirisan bawang dan cili api serta perahan asam limau. Lagi banyak cili lagi kaw.

Sekian.


ibundo

ikan lomak pokat masak daun kunyit

Di hujung sawah bertepikan tali air ('bonda' kata orang kampung) , emak membuat satu lubuk memerangkap ikan. Emak menebuk satu saluran kecil supaya ikan ikan dari tali air masuk ke dalam lubuk. Emak mencampakkan kelapa busuk ke dalam lubuk sebagai umpan.

Apabila tiba masa untuk menangkap ikan tersebut, emak akan menutup lubang air dengan lumpur dan
menimba keluar air di dalam lubuk itu. Ikan ikan akan menggelupur, meloncat dan menjadi tidak tentu arah bila air berkurangan. Emak menggunakan tangguk untuk menangkap ikan. Kebanyakannya ikan puyu, ikan sepat, ikan haruan dan juga ikan sembilang.

Ada kalanya bundo turut sama menangkap ikan.  Itupun bila bundo sudah agak besar bersekolah rendah dan awal sekolah menengah. Amat seronok sekali. Ikan yang ditangkap terlalu banyak sehingga penuh satu baldi.  Selalunya emak tidak menangkap semua.  Emak akan membuka semula lubang yang ditutup sebelumnya supaya air kembali memenuhi lubuk itu. Umpan akan dimasukkan semula.

Pada masa itu letrik belum lagi masuk ke kampung kami.  Lampu petik tepi tengah menyala belum ada lagi.  Cuma ada lampu gasolin. Tv dan peti ais memang jauh sekali.  Ikan yang emak tangkap emak bersihkan dan salai di atas bara api kayu. Tahan untuk  tiga empat hari makan.

Masih terasa-rasa di lidah bundo akan masakan ikan sawah yang dibuat emak setiap kali lepas menangkapnya. Ikan yang masih segar itu emak masak di dalam kuali berlapiskan daun pisang dan daun kunyit. Santannya pekat dan ia dimasak sehingga kuahnya hampir kering. Kadang-kadang emak mencampurkannya dengan daun pucuk gelugur yang dihiris halus seperti bunga rampai.  Kadang-kadang emak mencampurkannya dengan buah bacang muda. Sedap sungguh.

Bundo cuba untuk merealisasikannya kembali dengan ikan tenggiri dan belimbing buluh ini.




3 keping ikan tenggiri
200 gm santan pekat (beli siap)
1 keping daun pisang bersaiz lebar
3 helai daun kunyit saiz lebar
3 ulas bawang putih diketuk
1 inci lengkuas diketuk
6 helai daun limau purut dibuang tulang
15 ulas cili api kampung ditumbuk halus
1 sudu kecil serbuk  kunyit (kunyit hidup lagi sedap)
secekak kacang buncis dibuang tempulur
8 biji belimbing buluh dibelah dua


Letak daun pisang di dalam kuali (wok).
Susun daun kunyit di atasnya
Masukkan bahan-bahan (melainkan kacang dan belimbing) dan juga santan.
Gaul rata.
Bila mendidih, masukkan kacang buncis dan belimbing buluh.
Masak sehingga kuah pekat.



Bundo makan ikan sawah masakan emak sambil jilat-jilat jari. Ada sesuatu yang hilang dalam masakan bundo ini.
Ia hanya ikan tenggiri.....
Kalaulah ada bacang atau daun pucuk gelugur....


ibundo

Bawal Sweet Sour

Beberapa lama dulu, anak terjumpa gambar bundo semasa remaja berseluar pendek. Pendek sangat-sangat dan dia gelak-gelak bercerita sesama sendiri tentang hal emaknya yang masa muda teramat seksi.
Memang generasi sekarang sangat lain dibandingkan dengan generasi bundo dulu. Kesedaran tentang pentingnya menutup aurat amat sedikit. Kami ke sekolah pada waktu itu masih menggunakan skirt pendek tiga empat inci di atas lutut.  Baju kurung hanya dipakai pada hari jumaat, itupun kalau mahu.  Kepala bogel tidak ada tudung.

Semasa PE, skirt pendek bertukar kepada seluar pendek yang memang betul-betul pendek. Tidak ada sekelumit pun rasa bersalah.  Mungkin kerana semua orang begitu.
Namun demikian, kami tidak liar seperti kebanyakan anak-anak muda sekarang.  Tidak pernah kedengaran  cerita-cerita bayi tidak bersalah dibuang di tong sampah atau ditinggalkan di tangga masjid atau di rumah orang. Hubungan lelaki perempuan masih elok terjaga.

Kesedaran menutup aurat melanda negara pada tahun 70han. Yang faham, menerimanya dengan baik.  Yang kurang faham bukan sahaja tidak mahu faham malah melebelkan mereka sebagai puak extreme. Bila ada seorang junior di sekolah bundo memakai tudung, kami sokseksoksek mengatakan dia mengamalkan ajaran sesat. Haha.. tanpa menyedari bahawa joke itu menimpa diri kami sendiri.



Bercerita pasal sekolah, mengembalikan juga ingatan bundo pada hal makan di dining hall. Biasalah kalau sudah selalu makan sedap masakan emak pastinya makan gulai yang dimasak dalam kawah dengan jumlah untuk dimakan beratus orang, rasanya tidaklah sesedap yang kita selalu makan di rumah. Ada-ada saja yang tidak kena dengan anak tekak.

Kalau lauk ikan, rasanya ikan yang dihidangkan itu kejung dengan rasa yang lari entah ke mana. Tapi oleh sebab makan sebab hendak hidup, kami makan jangan tak makan. Kalau dapat ikan bawal sweet sour macam yang bundo masak ini, tentu kawan yang menunggu turn paling akhir akan mendapat kuah dan bawang sahaja.

Semua orang tahu masak sweet sour.  Betul ke semua orang tahu?  Mesti ada anak-anak muda yang tak tahu kan? Bagi yang hendak tahu, lihat-lihatlah resepi bundo ini untuk dijadikan panduan.

1 ekor ikan bawal (ikan siakap pun sangat sedap) dilumur sedikit kunyit dan garam dan goreng
1 inci halia dipotong julien
4  ulas bawang merah dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
2 biji bawang besar (sederhana besar) dipotong bulat
1/2 batang carrot dipotong julien
1 tangkai daun bawang dipotong panjang 1 inci
1 tangkai daun saderi dipotong panjang 1 inci
1 tin kecil nanas cube, tapis dan ambil sedikit sahaja airnya
2 biji cili merah dihiris
2 biji cili hijau dihiris
2 biji cili api diketuk
1 sudu besar sos plum
1 sudu besar ikan
3 sudu besar sos cili
3 sudu besar sos tomato
1 sudu kecil tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
1 cawan air




1. Ikan digoreng, masukkan ke dalam bekas hidang dan ketepikan.
2. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia sehingga wangi.
3. Masukkan segala sos, air, carrot, cili dan nanas berserta separuh air nanas tersebut.
4. Apabila mendidih masukkan tepung jagung yang telah dibancuh air. Rasa garamnya dan cukupkan masam dan manis sekiranya ada yang kurang.
5. Akhir sekali,  masukkan daun bawang dan daun sader.
6.  Curahkan ke atas ikan.
7. Nota: boleh juga dibubuh tomato, capsicum dan sebagainya.



Jom makan dengan nasi panas....

ibundo

Cendawan tiram tengiri masak lemak podeh

Banyak kali bila tiba musim hujan, cendawan 'busut' tumbuh dengan banyak sekali. Tidak payah pergi jauh, emak kelihatan terbongkok-bongkok di belakang dapur memetik cendawan yang tumbuh melata. Maka pada hari-hari seperti itu kami akan berpesta dengan lauk cendawan lemak cili api.  Sungguh enak tak terkata. Abah makan tanpa menoleh dan bundo menjilat-jilat jari kesedapan.

Emak pandai memasak walaupun masakannya cuma itu itu saja yang dia tahu. Kuah kuning yang kadang-kadang bundo hirup begitu saja kesedapan. Cukup dengan pedas.  Cukup dengan lemak.  Cukup dengan asam.  Cukup dengan masin.  Cukup serba serbinya.

Ada waktu-waktunya bundo sangat sangat merindui air tangan emak. Memang banyak tahun sebelum permergiannya, emak sudah tidak gah lagi di dapur. Kesihatannya yang merosot membuatkan dia seperti diikat di kerusi roda. Namun begitu bundo sentiasa teringat akan keenakan masakannya. Walaupun hanya dengan cendawan tiram, bundo cuba mengimbau kembali rasa yang menjadi kegilaan kami satu waktu dulu. Cuma bundo ubahsuai sedikit mengikut perkembangan masakini.



Bahan:
2 keping ikan tenggiri
2 peket cendawan tiram
2 ulas bawang putih *
1/2 inci kunyit hidup*
2 ulas bawang merah*
400 gm santan siap
15 ulas cili padi kampung
1@ 2 keping asam gelugur
Garam secukup rasa





Tumbuk dengan lesung batu bahan yang bertanda *.
Masukkan ikan tenggiri, santan dan bahan tumbuk dalam belanga (periuk tanah).  Kalau tak ada, pakai periuk biasa..
Masak sehingga mendidih. Tambah garam dan asam keping.
Masukkan cendawan.
Masak sehingga cendawan empuk dan kuah pekat.




Walaupun rasanya hanya seakan-akan air tangan emak, tapi bundo lihat abah makan dengan berselera sekali.
Semuga emak tenang di sana. Kami sentiasa merinduimu.


ibundo

ikan goreng lemak harum

Salam.
Sebenarnya bundo tak pergi jauh mana pun. Pergi johor je.  Melawat sedara di kota tinggi dan lepas tu mengenang-ngenang masa  lampau di johor bharu. Bundo menghabiskan beberapa tahun usia remaja bundo kerana bersekolah di situ.  Sempat jugalah melawat sekolah lama. Walaupun sudah berpuluh tahun bundo tinggalkan, bangunan  yang bundo kenal dulu masih utuh di situ.

Sempat juga ke JPO. Sana sini orang bercakap mengenainya. Bila dah sampai di jb, takkan tak pergi. Tapi harganya mak datukkkk.. mahal gilerrr. Memang terperanjat beruk tapi bila tengok satu henbeg kulit yang hati pekenan, sambar jugaklah satu. Itu pun sebab ada diskaun.

Bagi yang belum pernah ke kota tinggi, bundo nak bagitau yang harga tudung, baju siap atau kain bahan memang agak murah.  Di situ ada satu bazar.  Sepupu bundo buka restoren minang di situ. Mulanya bundo tak tahu juga yang di situ ada jual kain yang berbaloi-baloi harganya. Bila bundo meronda dari satu kedai ke satu kedai, bundo dapati harga baju siap sepasang adalah separuh lebih murah daripada di kl ni. Sepasang baju  sulam yang ada batu harga di kajang 160.00 ringgit.  Tapi di situ, baju yang sama harganya 75.00.  Murah kan? Bundo beli 3 pasang..haha.



Okay.  Pasal masak-masak pula.
Bundo namakan masakan ni ikan goreng lemak harum sebab baunya memang harum. Harum dah pastinya enak.  Cubalah..

Bahan:
3 ekor ikan kembung
2 biji bawang besar saiz kecil hiris bulat
3 ulas bawang putih dititik
1/2 inci halia hiris mancis
4 ulas bawang merah ditumbuk kasar
4 biji cili api dipotong dua serong
2 biji cili hijau besar potong 2 serong
1 cawan santan pekat
1/2 cawan santan cair
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1 @ 2 helai  daun kunyit dikoyak-koyak.
2 sudu besar bawang goreng
1 keping asam keping



- Ikan dilumur kunyit dan sedikit garam.  Goreng tapi jangan garing.
- Panaskan sedikit minyak.  Tumis bawang merah, bawang putih dan halia sehingga wangi.
- Masukkan cili, serbuk kumnyit dan bawang besar.  Tumis sebentar.
- Masukkan pula santan cair, santan pekat dan daun kunyit.
- Apabila mendidih, masukkan ikan, asam keping dan bawang goreng.
- Rasakan garamnya.


Selamat mencuba.  Boleh tahanlah sedap.
(Sendiri puji.  Siapa lagi nak puji kan.. )





Siakap rebus asam sempoi

Bundo suka buat siakap rebus asam ni. Hirup-hirup kuahnya.. fulamak.. boleh lelap-lelap mata menikmati kesedapan. Sendiri masak sendiri pujilah kan.
Anyway, ini memang feveret bundo dan juga hasben. Hasben bundo tak makan pedas. Jadi, bundo akan rebus dulu tanpa cili padi dan bila masak, bundo akan keluarkan semangkuk untuk dia.  Selebihnya bundo bubuh cili api. Takde lah banyak.  Dalam dua biji tapi bila cili tu dipatah-patahkan dan dipenyek-penyekkan, pedasnya akan keluar.

Masakan ni, mesti cukup balance antara masam, masin dan pedas.  Pergh!!! Barulah lupa dunya sekejap.




Resepi.
1 ekor ikan siakap dikerat 2
2 biji bawang besar bersaiz kecil dihiris bulat nipis
2 ulas bawang putih diketuk
1 batang serai diketuk
1 inci halia dihiris nipis
1/2biji lemon diambil jusnya
garam secukupnya
2 biji cili padi diketuk
beberapa batang bende


Untuk membuatnya, cukuplah sempoi. Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk bersama air tak kesahlah banyak mana nak bubuh. Janji memadai dengan ikan tersebut.
Bila mendidih, rasa rasakanlah masam masinnya.  Janji belen. Kalau nak bubuh perisa pun, suka hatilah.
Lepas tu, masukkanlah bende.  Masak bende tu sekejap saja sebab proses masaknya akan berterusan walaupun kita dah padam api.



Setengah ekor ni bundo boleh makan sorang saja.
Sekian.


ibundo

Asam pedas kaw

Kalau orang nisemilan tak boleh lari dari lemak cili api, orang melaka pula dengan asam pedas. Kalau mertua datang ke rumah, bundo kena sediakan asam pedas yang kaw.  Kalau tak siaplah kena kritik. Kuah asam pedas tak boleh cair. Mesti pekat.
Mula-mula dulu puas juga nak adjust. Lama-lama dah kira bolehlah. Dan bila dah boleh tu, kita boleh je nak ubah suai sana sini.  Bundo suka versi yang ini.



Bahan:
1 ekor ikan siakap
1 inci halia *
1 inci lengkuas *
3 biji buah keras *
3 batang serai *
2 biji bawang besar *
4 ulas bawang putih *
25 biji cili kering *
1 sudu besar belacan *
1 batang bunga kantan
3 tangkai daun kesum diambil daunnya
1 helai daun kunyit
sebesar ibu jari asam jawa digaul dengan setengah cawan air
Air secukupnya (agak-agaklah )
Bende atau terung (bundo tak bubuh sebab stok takde)




Cara:
1. Blender bahan yang bertanda *.
2. Panaskan minyak.  Tumis bahan yang diblender sehingga benar-benar masak dan terbit minyak. (Makan masa dalam 6-10 minit).
3. Tambah air asam jawa.  Gaul rata.  Tambah air secukupnya (jangan cair sangat).
4. Apabila mendidih, masukkan daun kesum, bunga kantan dan daun kunyit.
5. Masukkan ikan dan garam.
6. Masak sehingga kuah pekat.
Nota: rasa pedas, masam, masin kena belance. Tambah mana yang rasa tak cukup.



Jomlah rasa.  Sedap ni, hahaha.....


ibundo

Tenggiri masak kari

Bundo baca petua shiela pasal masak kari ikan terus buatkan bundo teruja sungguh untuk mencuba. Bukan tak selalu masak kari ikan.  Selalulah juga tapi ada beberapa petua shiela tu yang bundo tak pernah buat. So, Sabtu haritu bundo pergi cari ikan tenggiri untuk dibuat kari.  Bahan lain ada.  Cuma perlu ikan saja.
Dahlah terpaksa bercekak dengan budak jaga kaunter tu sebab dekat whiteboard tulis harga lain, bila punch kira harga lain.  Tapi akhirnya beli jugaklah.



Sebenarnya apa yang shiela cakap tu bundo main ingat-ingat dalam otak saja.  Semasa nak masak, malaslah pulak nak menyelinap masuk dapur shiela lagi. Maka, buat sajalah apa yang teringat.
Lawaknya semasa bundo siapkan rempah tumis.  Bundo ambil biji sawi, halba dan jintan halus dan bila campur-campur semuanya anggaran satu sudu besar.  Kemudian bundo basuh dan tapis dalam penapis teh. Kejap lepas tu bundo tengok biji sawi bundo mengembang macam jeli. Bundo terus ambil cermin mata nak tengok apasallah pulak biji sawi bundo jadi macam tu. heh heh.. rupanya yang bundo basuh itu biji selasih. Patutlah....

Bundo carilah biji sawi sebab seingat bundo memang ada bundo beli cuma entah mana letaknya.  Nasib baik jumpa.

Okay, pasal beras yang digoreng tanpa minyak tu memang bundo tak pernah buat sebelum ini.  Tak sabar betul bundo nak tengok resultnya.




Dengan mengikut sebahagian besar petua shiela, (Bundo terlupa nak campur cili kering, terlupa nak bancuh rempah dengan santan, tak pasti samada beras goreng yang dikisar itu dibancuh sama dengan rempah atau tidak. Bundo campur dengan rempah), maka terhasillah kari ikan bundo yang sangat mabeles. Sedap.. walaupun beberapa pantang larang terlanggar.
Dah tu cili hijau yang bundo ingat masih banyak dalam peti ais rupanya dah habis.  Tak dapatlah nak bundo patah-patahkan masuk dalam kuah. Yang ada cuma bende yang bundo petik fresh dari belakang dapur.




Hasben makan bertambah-tambah.  Anak-anak makan pun kata sedap. Lain kali pasti bundo buat lagi dan ikut betul-betul arahan.  Mesti lagi sedap.  Yang ini pun bundo hirup-hirup je kuah dia dan cicah dengan roti.

Terima kasih SHIELA.....


ibundo

Kembung berempah goreng sambal hijau

Kembung.
Perut kembung masuk angin boleh buat semua kerja tak kena. Memulas sana memulas sini. Urghhh!!
Bundo dah serik minum air halia serai. Berhari-hari bundo sakit perut. Bibik kata bundo minum banyak sangat. Mana tak banyak, dahlah air tu pekat, bundo minum satu mug penuh sekali minum . Adei.. tobat.
Sapa ada minyak yuyi, sapu jelah dengan minyak yuyi. Kalau kat indon ada ubat tolak angin.  Bila minum satu peket memang boleh buat angin keluar dari segenap pelosok.

Kembung.
Arghh.. dompet kembung boleh jadi kempes bila beli ikan kembung yang cecah berbelas ringgit satu kilo. Belas ringgit tu.  Zaman bundo bebudak dulu kembung tujuh ploh sen je sekati hehe.
Adei.. amende la aku membebel ni.


Ikan kembung yang ini sudah selamat bundo cilikan. Sampai tersembul bijik mata kembung ni kena cili.
Bundo gunakan cili hijau tapi bila dimasak warna hijaunya dah jadi macam nak kuning-kuning. 

Sebelum merepek lebih panjang mehlah tengok resepi.

5 ekor ikan kembung
rempah perap kembung:
1 sudu besar rempah kari
1 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk bawang putih
garam

bahan sambal:
8 biji cili hijau*
20 biji cili api hijau*
1 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*
2 tangkai daun ketumbar dipotong
1 biji bawang besar dihiris bulat
beberapa biji tomato ceri
1 sudu besar cuka
1 sudu besar jus lemon




- Ikan dibersihkan, dikelar badannya dan dilumur dengan bahan perap. Perap selama 1/2 jam.
- Sementara itu, blender bahan yang bertanda *.
- Goreng ikan dan ketepikan.
- Kurangkan minyak di dalam kuali dan goreng bahan yang diblender sehingga garing.  Masukkan cuka, jus lemon.  Gaul.  Masukkan garam, bawang potong dan daun ketumbar.
- Akhir sekali, masukkan tomato ceri.
- Curahkan sambal ke atas ikan yang telah digoreng tadi.
- Siap

Memanglah pedas.  Sambal kan semestinya pedas tapi rasa masam cuka dan lemon menjadikannya pedas-pedas masam dan sedap bila digaul dengan nasi panas.  Cubalah.

ibundo

ikan merah masak asam

Pagi tadi sibuk masak sebab anak-anak mengajak kawan-kawan mereka datang makan-makan sempena syawal yang belum berakhir.  Sementelah dah masak, bundo ajaklah juga staff yang tak berapa kerat tu  datang sama.  Bundo masak ala kadar saja dengan bantuan anak-anak dan bibik.

Selesai masak bundo lari sekejap ke pasar seni di kl sebab menemankan sepupu membeli cenderahati untuk dibawa pulang ke jakarta. Lama sungguh bundo tidak ke sana. Sepupu-sepupu bundo sibuk mencari barang kenangan, bundo sibuk mencari barang untuk bundo jadikan prop untuk fotografi. Yang bundo puas hati sangat, bundo dapat penepuk lalat yang dibuat daripada rotan haha. Sebelum ni bundo beli yang plastik tetapi sekejap dah rosak dikerjakan dek faris cucu bundo.




Lauk ikan ni bundo buat semalam. Sedap dihirup hirup kuahnya dan dimakan bersama nasi panas.  Tapi ikan sekarang ni mahal sungguh. Kalau nak dibandingkan dengan ayam, lebih murah ayam tapi sebab dah muak makan ayam, belilah juga ikan walaupun mahal.  Satu ekor ikan merah ni harganya 32 ringgit.  Ayam sekor baru 12 ringgit.





Bundo masak satu ekor ikan merah sebab yang makannya ramai. Adjustlah bahan ye..
1 ekor ikan merah
1 inci lengkuas sebesar ibu jari kaki *
1 inci halia *
4 biji buah keras *
6 biji cili merah (cili besar) *
2 keping asam gelugur *
6 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
2 batang serai diketuk
1 kuntum bunga kantan dibelah 2
1 helai daun kunyit dikoyak-koyak
6 biji bende
2 biji tomato dipotong dan buang biji




Blender bahan yang bertanda *.  Tumis dengan sedikit minyak sehingga naik bau.
Masukkan air (pandai-pandailah mengagak).  Masukkan serai, bunga kantan dan daun kunyit.
Apabila mendidih, masukkan ikan.
Masukkan garam dan asam keping.
Masukkan pula bende dan tomato apabila hampir matikan api supaya sayur tidak lembik.



Sekian.

Salam dari,
ibundo

Ikan leftover

Kelmarin bundo masak ikan tenggiri masak lomak cili api untuk berbuka.  Bila kaklong datang petang, dia bawak seperiuk lauk ikan merah masak kari. Kami semua mabuk makan ikan petang tu.  Sampai sahur pun lauk ikan tak habis.  Biasalah anak-anak bundo ni kalau lauk ikan main cubit-cubit je.  Kalau ayam, laju je tangan masing-masing.

Selalunya lauk ikan masak kuah ni akan keluar masuk peti ais berhari-hari. Lainlah kalau dimasak berlado atau stim atau swet sour.  Baru laku. Jadi bila bundo pandang ikan yang masih berketul-ketul dalam periuk bundo sayang kalau-kalau akhirnya jordan sorang saja yang kenyang. Jordan ni kucing bundo. Jadi bundo ambil inisiatif untuk membaharukan lauk ikan yang ada.



Semalam bundo asingkan isi daripada tulang. Hancurkan. Bundo sediakan bahan-bahan seperti di bawah.  Semuanya main campak-campak saja.  Tak ada sukat-sukat.



Bundo gaul semua bahan dan campurkan dengan satu sudu kecil garam (boleh sesuaikan), satu sudu kecil lada hitam ajishio, 2 sudu besar tepung jagung dan 2 biji telur. Bundo gaul sampai sebati.

Sementara tu, panaskan kukusan.  Bundo ambil beberapa pelepah kubis, hiris batang belakangnya yang keras dan bundo kukus sampai lembut.




Bentang sehelai pelepah kubis dan letak isi ikan dan gulung kemas.  Lepas tu kukus ikan yang telah dibungkus dengan kubis itu sehingga empuk.



Kalau anda semua ada ikan yang berlebih, bolehlah cuba cara bundo ni. Kalau nak buat ikan yang fresh pun boleh juga.
Semalam bundo makan cicah dengan air asam. Kuah tu boleh buat ikut kreativiti korang.



Terliur tengok air asam?
Cuma perlukan
2 biji bawang besar didadu. 
2 biji tomato didadu,
1/2 batang timun didadu
sebesar guli belacan
cili merah 4 biji
6 ulas cili api
secawan air asam jawa
4 biji limau diambil jusnya.
1 sudu kecil garam

Cili dikisar kasar.  Belacan dibakar atau digoreng. Campur semua bahan dan walla.... makan dengan ikan leftover. 

Sekian.


ibundo