Bawal Sweet Sour

Beberapa lama dulu, anak terjumpa gambar bundo semasa remaja berseluar pendek. Pendek sangat-sangat dan dia gelak-gelak bercerita sesama sendiri tentang hal emaknya yang masa muda teramat seksi.
Memang generasi sekarang sangat lain dibandingkan dengan generasi bundo dulu. Kesedaran tentang pentingnya menutup aurat amat sedikit. Kami ke sekolah pada waktu itu masih menggunakan skirt pendek tiga empat inci di atas lutut.  Baju kurung hanya dipakai pada hari jumaat, itupun kalau mahu.  Kepala bogel tidak ada tudung.

Semasa PE, skirt pendek bertukar kepada seluar pendek yang memang betul-betul pendek. Tidak ada sekelumit pun rasa bersalah.  Mungkin kerana semua orang begitu.
Namun demikian, kami tidak liar seperti kebanyakan anak-anak muda sekarang.  Tidak pernah kedengaran  cerita-cerita bayi tidak bersalah dibuang di tong sampah atau ditinggalkan di tangga masjid atau di rumah orang. Hubungan lelaki perempuan masih elok terjaga.

Kesedaran menutup aurat melanda negara pada tahun 70han. Yang faham, menerimanya dengan baik.  Yang kurang faham bukan sahaja tidak mahu faham malah melebelkan mereka sebagai puak extreme. Bila ada seorang junior di sekolah bundo memakai tudung, kami sokseksoksek mengatakan dia mengamalkan ajaran sesat. Haha.. tanpa menyedari bahawa joke itu menimpa diri kami sendiri.



Bercerita pasal sekolah, mengembalikan juga ingatan bundo pada hal makan di dining hall. Biasalah kalau sudah selalu makan sedap masakan emak pastinya makan gulai yang dimasak dalam kawah dengan jumlah untuk dimakan beratus orang, rasanya tidaklah sesedap yang kita selalu makan di rumah. Ada-ada saja yang tidak kena dengan anak tekak.

Kalau lauk ikan, rasanya ikan yang dihidangkan itu kejung dengan rasa yang lari entah ke mana. Tapi oleh sebab makan sebab hendak hidup, kami makan jangan tak makan. Kalau dapat ikan bawal sweet sour macam yang bundo masak ini, tentu kawan yang menunggu turn paling akhir akan mendapat kuah dan bawang sahaja.

Semua orang tahu masak sweet sour.  Betul ke semua orang tahu?  Mesti ada anak-anak muda yang tak tahu kan? Bagi yang hendak tahu, lihat-lihatlah resepi bundo ini untuk dijadikan panduan.

1 ekor ikan bawal (ikan siakap pun sangat sedap) dilumur sedikit kunyit dan garam dan goreng
1 inci halia dipotong julien
4  ulas bawang merah dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
2 biji bawang besar (sederhana besar) dipotong bulat
1/2 batang carrot dipotong julien
1 tangkai daun bawang dipotong panjang 1 inci
1 tangkai daun saderi dipotong panjang 1 inci
1 tin kecil nanas cube, tapis dan ambil sedikit sahaja airnya
2 biji cili merah dihiris
2 biji cili hijau dihiris
2 biji cili api diketuk
1 sudu besar sos plum
1 sudu besar ikan
3 sudu besar sos cili
3 sudu besar sos tomato
1 sudu kecil tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
1 cawan air




1. Ikan digoreng, masukkan ke dalam bekas hidang dan ketepikan.
2. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia sehingga wangi.
3. Masukkan segala sos, air, carrot, cili dan nanas berserta separuh air nanas tersebut.
4. Apabila mendidih masukkan tepung jagung yang telah dibancuh air. Rasa garamnya dan cukupkan masam dan manis sekiranya ada yang kurang.
5. Akhir sekali,  masukkan daun bawang dan daun sader.
6.  Curahkan ke atas ikan.
7. Nota: boleh juga dibubuh tomato, capsicum dan sebagainya.



Jom makan dengan nasi panas....

ibundo

Artikel Terkait

Bawal Sweet Sour
4/ 5
Oleh

Berlangganan

Suka dengan artikel di atas? Silakan berlangganan gratis via email