Rendang Kacang Panjang

Kami bukanlah orang susah tapi bukan juga tergolong orang yang kaya raya.  Pekerjaan abah sebagai guru lebih pada cukup untuk menampung kehidupan kami sekeluarga. Emak seorang suri rumah tangga yang pada mata aku tidak pernah kenal erti duduk diam. Padahal boleh saja dia  tidak perlu membuat pekerjaan yang berat-berat. Tapi itu bukan emak.

Emak mewarisi sebidang tanah sawah.  Tanah pusaka yang dimiliki turun temurun oleh anak perempuan. Tanah pusaka yang dimiliki turun temurun oleh saudara perempuan sekiranya tidak ada anak perempuan.  Tanah pusaka yang dimiliki turun temurun oleh anak buah perempuan sekiranya tidak ada anak perempuan dan tidak ada saudara perempuan. Dan seterusnya begitulah kerana memang adat kami sudah termaktub begitu.

Apabila tiba musim ke sawah emak akan membanting tulang mengerjakan tanah sawah.  Abah akan membantu bila pulang dari sekolah.  Kalau kena musim cuti sekolah, abah akan sama-sama ke sawah pagi dan petang. Bundo pula akan berlari-lari di permatangan mengejar tetibur dan apabila tergelincir tercebur di dalam lumpur bundo akan bangun semula berlari mengejar apa saja yang ternampak.

Di pinggir sawah antara tebing sungai dan bendang abah dirikan sebuah pondok kecil (pundong dalam bahasa kami) untuk beristirihat melepaskan lelah. Di situlah juga tempat mereka membuka bekal yang dibawa dari rumah, mengisi tekak yang haus dan perut yang lapar setelah membanting tulang. Bundo masih ingat akan rasa keseronokan menikmati makanan bersuasanakan cicipan unggas, desiran angin, geseran pohon-pohon buluh dan pelepah anau yang mengikut rentak tiupan bayu. Ketika padi menguning, bendang bagaikan lautan emas yang tidak bertepi.



Bersebelahan dengan pundong, emak membuat kebun kecil menanam sayuran. Oleh kerana sememangnya masakan emak hari demi hari menggunakan cili api maka tidak hairanlah emak menanam pokok cili api yang banyak.  Tangan emak memang sejuk.  Semua pokok cili yang ditanamnya berbuah lebat sampaikan tidak habis termakan oleh keluarga kami.  Maka emak akan menjualnya pada siapa yang mahu membeli.  Atau selalunya emak akan memberinya begitu saja.

Ketika makan-makan di pundong, abah dan emak akan mengambil kacang panjang muda yang berjuntaian dan memakannya bersama dengan nasi.
Buat ulam, kata abah.
Kalau tak mau tua, makan ulam banyak-banyak, kata emak.
Aku hanya geli geleman memerhatikan.



Kacang panjang yang dibuat rendang memang masakan yang selalu ditemui masa kenduri kendara. Bundo tak tahu di tempat lain tapi di negeri bundo ia seakan-akan masakan yang mesti ada pada masa dahulu. Sekarang hanya sekali sekala sahaja dijumpai.
Rendang kacang panjang shiela beberapa minggu lepas mendorong bundo untuk memasaknya.  Cuma bundo tidak ada telur ayam lembut seperti dalam hidangan shiela.
Resepi bundo ini resepi campak-campak sambil cuba mengimbau kembali apa yang dicampak oleh emak semasa membuat rendang ini dulu.

Secekak kacang panjang dipotong pendek anggaran 2 inci
1 biji kelapa diambil santan pekat
15 biji cili api kampung
Hati ayam, pedal ikut suka hati berapa nak bubuh
1 inci lengkuas dititik
1/2 inci halia dititik
3 ulas bawang putih dititik
2 batang serai dititik
1 sudu besar serbuk ikan bilis
1 keping asam gelugur
garam secukupnya



Masukkan semua bahan di dalam kuali dan masak sehingga pekat seperti rendang.
Sedap dimakan ketika masih panas bersama sambal tempoyak.

ibundo

Artikel Terkait

Rendang Kacang Panjang
4/ 5
Oleh

Berlangganan

Suka dengan artikel di atas? Silakan berlangganan gratis via email