Tampilkan postingan dengan label Cake. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Cake. Tampilkan semua postingan

Kek Mentega Oreo Strawberry

Mmm alahai. Tersilap masuk loyang. Jadilah kek yang bantut tak cukup ketinggian. Tapi apa ada pada rupa kan? Janji rasanya sedap mengancam.

Resepi asal bundo ambil dari e-book ita masam manis... kek mentega blueberry. Tapi bila sampai pada bundo, nama dah bertukar jadi kek mentega oreo strawberry.
Bundo ubahsuai mengikut bahan yang ada di dapur.  Menurut ita, kek ini rasanya sedap dan lembut. Setelah bundo ubah suai sana sini, rasa sedap tetap maintain.  Begitu juga kelembutannya.



Resepinya:
250 gm mentega
200 gm gula castor
4 biji telur
250 gm tepung gandum
5 gm serbuk penaik
50 ml santan kotak + 50 ml air (kacau sebati)
1 sudu kecil strawberry paste
50 gm biskut oreo yang telah dibuang cream ( kisar kasar)



Putar gula dan mentega hingga putih.
Masukkan telur satu persatu. Pukul hingga kembang.
Tepung diayak bersama serbuk penaik. Masukkan tepung berselang seli dengan santan.

Keluarkan 1/3 daripada adunan tersebut dan campur dengan strawberry paste.
Adunan selebihnya dikaup balik dengan biskut oreo.
Gunakan loyang berukuran 8". Letak adunan oreo terlebih dahulu diikuti dengan adunan berperisa strawberry. Bakar.




Kalau nak rasa, cubitlah sorang sikit.


ibundo

Lemon Cheese Cake

Semalam sekolah cuti.  Malam tadi ramai juga yang mengharap-harap ada lagi pengumuman tentang sekolah cuti lagi di selangor hari ini. Memang teruk jerebu kali ini. Warna alam sekitar bertukar keperangan. Pandangan juga terjejas akibat  asap tebal. Bagi yang tidak mempunyai daya tahan yang tinggi, mudah saja akan mendapat perit tekak, batuk dan sebagainya. Mudah-mudahan dengan izinNya masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera. Kesian anak-anak.  Kesian kita.



Dalam pada menahan nafas sebanyak mungkin supaya tidak terus menyedut partikel-partikel yang berterbangan di ruang udara (kedai, farmasi kehabisan mask), sempat juga bundo ke kedai peralatan memasak membeli bahan untuk membuat lemon cheese cake ini. Resepi ini bundo ambil dari ita masam manis . Bermilion terima kasih bundo ucapkan pada ita yang tidak jemu-jemu berkongsi rahsia masakan bersama kita.  Nampaknya ita juga bertambah-tambah sibuk dengan pelbagai tempahan dan akitiviti kelas memasak. Semuga Allah membalas jasa-jasa ita dengan menambahkan lagi rezki ita sehingga melimpah ruah. Amin.




Sedap.
Itu yang dapat bundo kata kalau ditanya macamana rasanya. Oleh sebab nama pun lemon, ia tentulah mempunyai rasa lemonish.  Lain kali bundo nak cuba tukar dengan rasa yang lain.




Resepi?
Bundo minta izin ita masam manis CP di sini.

 LEMON CHEESE CAKE

Dasar
150 gm biskut Marie + biskut Oreo
30 gm Almond Flakes ~ panggang dan kisar
90 gm mentega ~ cairkan

Satukan Biskut dan almond flakes, tuangkan mentega panas dan sebatikan. Berhati-hati dengan mentega yang panas. masukkan dalam cup kecil, rata dan padatkan. Ketepikan

Lemond Cheese

400 gm krim keju
3 gm jus lemon
180 gm coklat masakan putih
300 gm krim bukan tenusu ~ di putar hingga kental
12 gm halal gelatin
60 ml air
1 sudu teh parutan kulit lemon
1 sudu teh pes lemon

Cairkan gelatin ~ rujukkan
Cairkan coklat masakan putih ~ kaedah kukusan
Dalam bekas pemutar, pukul krim keju , kulit lemon, pes lemon dan jus lemon lembut
Tambahkan gelatin cair dan terus putar
Tambahkan coklat cair dan terus putar
Kaup balik krim putar dalam keju, rata
Tuangkan dalam bekas dan ratakan, ketepikan

Lemon Jely
2 sudu teh gelatin
200 ml air
2 sudu teh gula kastor
2 sudu teh jus lemon
1 titik pewarna kuning lemon

Satukan semua bahan dan masak dengan api sederhana
Tuang dalam bekas dan dinginkan
Sedia dinikmati dingin




Untuk keterangan yang lebih terperinci, anda pergilah ke blog ita masam manis.
Banyak rahsia masakan di sana.




Thank you  ita. Luv u.

ibundo

Banana vanilla cupcake

Mood tengah rajin ni bundo letak lagi satu resepi. Masa rajin nilah nak tunjuk. Nanti tiba
malas, terperap lagi berminggu-minggu.
Yang berpuasa hari ini bundo ucapkan selamat berbuka.  Tak lama lagi.  Tak sampai pun satu jam dan agaknya semua kerja di dapur sudah pun selesai. Bagi yang belum habis membayar hutang puasa, cepat-cepatlah bayar. Jangan tangguh-tangguh lagi.



Dalam cupcake ni ada pisang. Bundo sukerr sangat cake yang ada pisang ni dan tak jemu-jemu mencuba resepi berlainan. Resepi ni bundo ambil dari blog omputeh tapi terlupa pula nak ambil linknya. Cuma bundo modified sikit letak ganache di dalam cupcake ni dan ternyata ianya sangat sangatlah mengancam.




untuk cupcake:
2  3/4  cup all purpose flour
1 1/4 tsp baking powder
1 tsp  baking soda
1/2 tsp garam
1/2 cup unsalted butter
1/4 cup vegetable shortening
1 3/4 cup gula castor
2 tsp vanilla extract
2 telur
1 1/2 cup pisang lenyek
1/2 cup butter milk ( 1/2 cup susu cair+1 sudu besar apple cider)

- Ayak tepung, baking powder, baking soda dan garam bersama.
- Pukul shortening dan butter hingga creamy. Masukkan gula, esen vanilla dan telur. Pukul sebati.
- Masukkan pisang. Gaul rata.
- Turunkan speed mixer pada low.  Masukkan tepung diselangselikan dengan butter milk.
- Masukkan ke dalam acuan cupcake dan bakar pada suhu 150.




 ganache:
100 gm whipping cream
150 gm chocolate masakan (bundo pakai yang bentuk coin)

Panaskan whipping cream. Curahkan ke dalam mangkuk berisi chocolate. Gaul sehingga chocolate cair. Sejukkan.

Cream:
2 cawan cream topping.  Pukul sehingga kembang.




Sejukkan kek setelah masak. Bila sejuk, buat sedikit lubang dipermukaan kek dan keluarkan isinya.  Masukkan ganache ke dalam piping bag, penuhkan lubang yang telah ditebuk tadi dengan ganache.  Memadai memenuhi lubang saja.  Jangan melimpah.
Kemudian, hiaslah cupcake itu dengan cream ikut kreativiti anda.




Pergh... makan dengan ganache yang meleleh.

Sekian dimaklumkan.

Bundo

Banana blueberry cake

Dah hari rabu. Bulan April pun dah nak separuh jalan.  Cepat sungguh masa berlalu. Lagi jauh perjalanan waktu ini lagi dekat hendak sampai ke penghujung. Bersyukur kerana masih dipinjamkan hayat untuk menikmati kebesaranNya dan berbakti terutamanya kepada keluarga tercinta.
Sekurang-kurang menjamin yang keperluan makan minum tetap terjaga.

Apa cerita hari ini?
Semuga ceria-ceria sambil menanti-nanti bila agaknya PRU akan berlangsung. Sukan kindy bundo yang dijangka berlangsung pada ahad ini terpaksa ditunda ketarikh lain kerana spr mengarahkan supaya semua tempahan stadium mpkj dibatalkan sehingga selesai pilihanraya.  Alahai..




Satu kotak blueberry sudah lama tersimpan dalam peti ais. Hajat nak buat itu ini memang ada sejak mencapainya di giant tempoh hari.  Cuma penyakit malas yang tak menentu ditambah lagi dengan kebizian melampau maka ia tinggal terperap begitu saja.  Baru pagi tadi bakit bangun dari kemalasan.
Rasanya?
Sedap jugalah pada lidah dan tekak bundo.  Ada kelembapan di situ. Lembut.
Sejak dua menjak ini bundo cuba buat adunan sendiri tanpa bergantung pada resepi sedia ada. Biasalah kan.. ada yang jadi ada yang tak.






Bahan:
250 gm tepung naik sendiri
150 gm unsalted butter
150 gm gula castor
3 biji telur
1 sudu teh vanila
1 cawan pisang yang telah dilenyek
1 cawan blueberry
1/2 cawan fresh milk





1. Blueberry dilenyek sedikit dengan garpu.
2. Ayak tepung.
3. Pukul gula dan butter sehingga lembut.
4. Masukkan telur sebiji demi sebiji.  Pukul sehingga kembang.
5. Masukkan esen vanila dan tepung . Pukul speed perlahan sehingga bergaul rata.
6. Masukkan pula susu.
7. Akhir sekali masukkan pisang dan blueberry.  Gaul rata dengan spatula.
8.  Alas dulang pembakar dan tuang adonan. Bakar sehingga masak.




Sekian. Kalau nak tau rasanya, cubalah....

ibundo

Marble cupcake

Sejak kebelakangan ini kerajinan berada di tahap merudum paling melampau. Sungguh tidak rajin. Tidak rajin untuk berlama-lamaan di dapur. Masak lebih kurang, dah.. Peliknya keinginan tekak dan perut untuk diisi tidak pernah pula berkurang. Malah makin menjadi-jadi.

Kejadian melihat lemak-lemak yang berlengkar di sekeliling pinggang dan bergayutan di perut ketika mencuba baju sambil membelek-belek keserasiannya dibadan di butik Anugerah Klasik petang tadi benar-benar menginsafkan. Arghh.. otak kata kurangkan makan.  Hati berdalih kalau tak makan macamana nak buat kerja... argh...

Jomlah kita tengok apa yang bundo buat ni.


Resepi paling sempoi.  Bagi yang tak pernah mencuba buat kek, bolehlah cuba. Senang banget deh.
Antara yang ramai-ramai datang ke sini mestilah ada yang tak pandai dan tak pernah buat kek kan? Bundo dulu pun antara yang ramai-ramai itulah. Betul cakap.  Tak pandai langsung. Buat mesti jadi lempeng ataupun jadi batu.



Bahan:
150 gm self raising flour
130 gm gula castor
150 gm majerin
3 biji telur grade B
1 sudu kecil esen vanila
2 sudu besar serbuk koko
1 sudu besar air suam

Cara:
-Panaskan ketuhar.
-Pukul majerin dan gula hingga kembang.  Masukkan telur satu persatu.  Pukul sebati.
-Tepung diayak. Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Gaul sebati. Tambah esen vanila. Gaul.
-Bancuh serbuk koko dengan air. Keluarkan anggaran 1 senduk adunan tepung dan gaul bersama bancuhan koko.
-Sudukan adunan asli dan sedikit adunan koko ke dalam acuan cupcake. Corak-corakkan dengan lidi sate.
-Bakar sehingga masak.
-Sejukkan dan hias ikut kreativiti.


Bundo buat cream hantam-sajalah-laboo. Namanya pun orang malas.
Ooops.. bundo makan seketul je tau.

ibundo


Honey, banana and pecan cupcakes

Semasa muda emak menghadiri kelas WI dimana emak belajar menjahit dan memasak.  Itu cerita emak.  Bundo masih kecil ketika itu. Apa dia WI pun bundo tidaklah tahu. Yang bundo tahu bundo teramat kagum dengan kepandaian emak menjahit dan memasak.

Emak pandai menjahit kerawang. Nyonya baba yang tinggal di rumah kedai di pekan kecil kampung bundo itu selalu menempah baju kebaya bersulam. Bundo cukup terpesona melihat cantiknya jahitan emak. Ketika menjahit, emak menggoyangkan tangannya ke kiri ke kanan ke depan ke belakang untuk menyulam lakaran bunga dan daun. Masa itu tidak ada mesin jahit letrik. Mesin jahit emak adalah mesen jahit besi hitam yang digoyang-goyang kakinya untuk membuatkan jarum naik dan turun.

Emak pandai memasak.  Emak pandai masak lauk.  Dan emak juga pandai masak kuih, biskut dan kek.  Selain kuih tradisional, emak masak biskut raya.  Bundo panggil biskut raya sebab emak hanya beriya-iya membakar biskut ketika raya hampir menjelang. Kek emak sedap. Tapi kek emak tidaklah seperti yang ada sekarang.  Simpel saja. Kek yang paling bundo suka ialah kek sarang lebah. Panggil sarang lebah sebab kek itu bersarang-sarang macam sarang lebah.

Kepandaian emak memasak biskut dan kek tidak menurun kepada bundo. Bundo cuma suka tengok dan suka makan. Keinginan untuk membuat jauh sekali. Malah keinginan itu datang hanya beberapa tahun kebelakangan ini.  Sebelum sebelumnya sekiranya bundo atau ahli keluarga mahu makan kek, bundo akan beli saja. Kemalasan itu melanda mungkin sebab kerap sangat gagal membuat kek yang sedap. Pernah beberapa kali bundo membuat cupcake yang ditong-sampahkan saja.

Kemudian timbul kesedaran untuk meningkatkan ilmu. Bila ilmu meningkat, secara otomatis minat juga meningkat.




Resepi cupcake ini bundo dapat dari sebuah buku resepi.  Bundo kongsikan di sini.
Bagi sesiapa yang sukakan kek yang berderap-derap bila dimakan, mungkin suka akan kek ini.

1/3 cawan unsalted butter
1 cawan honey ( lebihkan untuk dituang ke atas kek bila makan)
2 cawan self raising flour
1 sudu kecil serbuk kayu manis
1 1/2 cawan carrot yang diparut kasar
1 biji pisang masak, hancurkan
1/2 cawan kacang pecan, dipanggang sebentar dan dicincang (tambah sedikit untuk taburan)
2 biji telur dipukul sederhana





Cairkan butter dan honey dalam kuali leper.  Sejukkan.
Ayak tepung dan serbuk kayu manis di dalam bekas.
Masukkan carrot , pisang, pecan, telur dan campuran butter dan honey.
Gaul rata (menggunakan spatula sahaja)
Masukkan ke dalam bekas cupcake. Taburkan sedikit kacang pecan.
Bakar 150 c selama 15 minit atau sehingga masak.




Jom pekena dengan kopi.....

ibundo

Ombre Cake

Salam kasih sayang buat semua yang berkunjung. Semuga semuanya sehat sejahtera. Sekarang musim hujan.  Jangan pula main hujan ye.
Petang tadi hujan lebat sungguh.  Bundo di tesco semasa hujan turun dengan lebatnya. Semasa balik terkena jugalah tempias hujan. Teringat dulu masa kecik memang waktu hujan turun ni waktu yang dinanti-nanti. Seronok mandi air hujan.  Terpekik-pekik mak suruh masuk tapi buat dono je. Cuba sekarang kalau anak-anak kita yang main hujan.  Mahu terpekik terlolong juga suruh masuk rumah.



Semasa di Pekan Baru beberapa hari lepas bundo berkesempatan ke toko buku gramedia. Kalau ke kedai buku diorang ni bundo memang asyik masyuk tengok buku resepi mereka yang berbagai-bagai. Kalau boleh nak borong banyak-banyak tapi mengenangkan berat nak bawa balik, bundo beli je lah beberapa.  Antara yang bundo beli adalah majalah 'sedap' edisi indonesia.

Antara resepi menarik yang bundo memang nak cuba semenjak bertentang mata dengan buku ini adalah kek ombre ini. Untuk membuatnya memang leceh macam buat kek rainbow juga dan semestinya memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.

Kalau nak cuba, bundo letak resepinya di sini dengan bahasanya yang telah bundo olah sedikit.



Sumber: Majalah Sedap Indonesia
Hasil air tangan :  ibundo


Bahan kek:
15 kuning telur
9 putih telur
1/4 sudu teh garam
1/2 sudu besar ovelet
185 gm tepung protein rendah
30 gm tepung jagung maizena
40 gm susu tepung
3/4 sudu teh baking powder
150 gm mentega tawar, cairkan
75 gm white cooking chocolate, cairkan

Bahan Filling:
200 gm cream cheese
100 gm mentega tawar dingin
50 gm gula castor
175 gm white cooking choccolate, cairkan
125 gm whipping cream

Bahan sapuan:
250 gm butter cream
75 gm butter cream tambahkan 3 titis pewarna ungu.  Aduk rata.
75 gm butter cream tambahkan 7 titis pewarna ungu
75 gm butter cream tambahkan 15 titis pewarna ungu
75 gm butter cream tambahkan 1/8 sudu teh pewarna ungu
Selebihnya biarkan butter cream pada warna asal




Cara buat kek:

1. Kocok kuning telur sampai kental.  Ketepikan.
2. Kocok putih telur dan garam sampai setengah mengembang.  Tambah gula sedikit sedikit sambil dikocok sampai kembang.
3. Masukkan kocokan telur kuning dan ovelet. Kocok hingga mengembang semula.
4. Tambahkan tepung, susu tepung, maizena dan baking powder yang telah diayak bersama. Masukkan sedikit sedikit dan gaul rata.
5. Masukkan mentega cair dan white cooking chocolate cair sedikit-sedikit dan gaul perlahan.
6. Bahagi adunan kepada 5 bahagian.
   Adunan 1 tambah 1/2 sudu makan pewarna ungu
   Adunan 2 tambah 3/4 sudu teh pewarna ungu
   Adunan 3 tambah 1/8 sudu teh pewarna ungu
   Adunan 4 tambah 15 titis pewarna ungu
   Adunan 5 biarkan pada warna asal
7. Tuang adunan ke dalam loyang bulat diameter 20 cm tinggi 3 cm yang disapu majerin dan dialas dengan kertas. Sapu juga kertas dengan majerin.
8. Bakar dengan api bawah pada suhu 190 deg selama 20 minit.






Cara buat filling:

1.  Campur cream cheese dan mentega tawar.  Kocok hingga lembut.  Tambah gula dan white cooking chocolate cair.  Kocok rata. Masukkan krim sedikit sedikit dan kacau rata.





Cara susun kek:

1.  Ambil kek yang bewarna paling gelap. Sapukan filling. Letak kek yang kedua gelap di atasnya.  Lakukan hal yang sama sampai habis mengikut urutan warna yang paling gelap di bahagian bawah.
2.  Tutup keseluruhan kek dengan butter cream putih. Masukkan ke dalam peti sejuk sebentar.
3.  Keluarkan bila cream agak mengeras dan sapu kek dengan buttercream bewarna ungu mengikut urutan paling gelap di sebelah bawah dan paling muda di atas sekali.



Silalah ambil beberapa potong.  Biar cepat habis...




InsyaAllah nanti kalau bundo rajin akan bundo buat resepi yang lain pula dan kongsi di sini.



ibundo