Tampilkan postingan dengan label Mee. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Mee. Tampilkan semua postingan

Mee Kari Bakso Jumbo Bundo Style

Hati masih terkesan dengan kejadian yang menimpa mh17. Hiba yang berpaut belum terungkai. Bertambah-tambah hiba melihat saudara kita dibedil hari demi hari di Gaza. Anak-anak yang tidak berdosa bergelimpangan akibat kegilaan zionis. Sedihnya.. Itu sajalah senjata kita disamping doa-doa yang tidak berkesudahan kita untuk mereka. Sedangkan ketua-ketua negara besar dan gah cuma memerhati dan tidak kurang yang bertepuk tangan melihat umat islam yang dianggap terrorist diganyang sebegitu rupa. Marilah kita terus berdoa.  Berdoa disepanjang ramadhan yang masih lagi berbaki.

Agak beberapa kali juga aku cuba membuat posting baru tetapi kesedihan itu membuatkan aku tidak sanggup untuk menulis.  Tambah tambah lagi menulis tentang keriangan kita menghadap makanan dan bersiap-siap untuk menemui idulfitri tidak lama lagi. Sedangkan mereka? Pastinya keluarga nahas mh17 akan menyambut idulfitri dengan tawar. Mereka yang diGaza sudah tentu pula bermakankan peluru dan darah manusia. Bilalah akan hilangnya kerakusan manusia.




Mee kari bundo style ditambah dengan bakso jumbo.  Ada telur rebus tapi terlupa diletakkan dalam mangkuk semasa difoto.

Bahan:
2 bungkus mee kuning
2 cm halia
2 cm lengkuas
2 batang serai
3 biji buah keras
4 biji cili merah
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
(Bahan di atas kecuali mee, diblender halus) Cili merah boleh diganti dengan pes cili kering sepedas mana anda mahukan.
1 bungkus bakso jumbo
beberapa ketul daging ayam dipotong kecil
4 sudu besar kari daging
4 biji kentang saiz besar direbus empuk dan diblender
1 kotak santan

Bahan hiasan:
Sawi direbus
Tauge di celur
Tahu digoreng dan dihiris
Telur direbus
Bawang goreng
Cili merah dipotong





-Panaskan minyak dan tumis bahan blender sampai berbau wangi
-Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air
-Masukkan ayam, gaul sehingga air ayam kering.
-Tambah santan. Bila mendidih, masukkan kentang blender, garam, sesudu stok ayam. Kalau suka taruk gula, bubuhlah gula sikit.
-Bila mendidih lagi sekali, masukkan bakso jumbo.
-Done.



Sekian.  Rasanya memanglah berbeza daripada mee kari biasa.  Dah namanya pun bundo style kan..

ibundo


Mee bayam creamy

Salam buat semua pengunjung tak kira sama ada meninggalkan jejak atau saja lalu lalang. Semuga semuanya berada dalam keadaan sihat, bertenaga dan terus mampu untuk menyediakan makanan yang lazat dan berkhasiat untuk keluarga.

Phew!!! bundo baru saja habis menonton masterchef usa sampai peringkat final.  Nak tunggu Astro, kena tonton minggu ke minggu. Tonton u tube kita boleh skip mana-mana yang malas nak tengok hehe. Seronoknya bila menonton siri masterchef ni kita bagaikan dapat satu semangat dan inspirasi untuk berpikir dan mencuba sesuatu di luar daripada kotak.  Otak kita tidak terikat pada benda yang biasa-biasa kita rasa, kita lihat dan kita buat. Maka kita teroka sesuatu yang lain daripada kebiasaan.



Resepi yang bundo buat ini adalah resepi berani. Walaupun tidak tahu penerimaan orang yang memakannya, bundo buat juga berdasarkan pengamatan menonton rancangan masak-masak. Kemudian bundo buat plating macam kelas masterchef hehe.  Bukan apa.. sedap mata memandang bila difotokan.



Bahan:
2 keping mee bayam
10 ekor udang
5 tangkai cendawan tiram
1/2 keping fish filet
1 sudu besar extra virgin olive oil
1/4 biji bawang besar didadu kecil
1 biji bawang putih dicincang halus
1 sudu besar butter
1 tangkai daun ketumbar
1 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil serbuk stok ayam
1/2 biji lada benggala hijau
daun bawang dan celery dipotong untuk taburan
1/2 biji tomato
1/4 cawan cooking cream
1/2 sudu besar tepung jagung
500 ml air



 Cara:
1. Mee bayam direndam daalam air panas sehingga lembut. Rendam sekejap saja.  Tapis.  Masukkan ke dalam mangkuk, tambah sos tiram, lada hitam dan olive oil. Ketepikan.
2. Bersihkan udang. Buang kulit dan belah belakang udang.  Kulit udang dicuci bersih, masukkan ke dalam periuk, tambah air dan daun ketumbar.  Jerang sehingga mendidih sehingga rasa bahan yang direbus keluar.  Tapis dan ketepikan.
3. Cendawan dipotong kasar.
4. Filet ikan dipotong kasar.
5. Lada benggala dipotong memanjang. Tomato dibuang bijinya dan dipotong memanjang.
6. Ikan dan udang dibubuh sedikit garam dan lada hitam.  Gaul.
7. Panaskan butter. Saute ikan dan udang sedikit-sedikit sehingga masak. Ketepikan.
8. Untuk kuah: Dengan menggunakan butter lebihan menggoreng ikan dan udang, goreng bawang sampai naik bau. Masukkan stok udang dan cream. Masukkan tepung jagung yang telah dibancuh dengan sedikit air. Tambah garam dan serbuk ayam. Bila mendidih dan kuah pekat, masukkan pula cendawan.  Padam api dan masukkan lada benggala.
9.  Plating: Letak mee di atas pinggan. Sudukan sedikit kuah dan susun lada benggala dan juga tomato.  Letak udang dan ikan di atasnya. Tabur dengan daun bawang dan seleri.



Nampak banyak kerja dan banyak step. Sebenarnya tidak sebab bundo tetapkan waktu untuk menyiapkannya. Maknanya, dapur semua kena pakai.


Sekian.

ibundo


Mihun kuah laksa lemak

Terlebih dahulu bundo nak ucapkan selamat menyambut eidul fitri yang bakal menjelang beberapa hari saja lagi. Ramadhan akan berlalu meninggalkan kita dan pastinya kita akan merindui bulan yang penuh dengan barakah ini.  Bundo minta maaf banyak-banyak sekiranya sepanjang berbloging ini bundo ada menyentuh perasaan sesiapa.

Selamat hari raya, maaf zahir dan batin.  Sekiranya tinggal berhampiran dengan rumah bundo di bandar baru bangi, silalah datang ke rumah bundo yang tidak sepertinya ini.




Untuk mengisi n3 bundo kali ini, bundo letakkan resipi mihun kuah laksa lemak yang bundo buat semalam.
Bahan:
Mihun atau mi kuning
10 ekor ikan kembung
1 inci halia*
1 inci lengkuas*
1 inci kunyit hidup*
15 biji cili kering direndam dan direbus*
2 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1 biji kelapa diambil santan pekat dan cair
3 keping asam keping
2 kuntum bunga kantan
beberapa batang daun kesum

bahan sampingan:
telur
tauge
daun salad dihiris nipis
timun dihiris batang mancis
cili merah dihiris
limau kasturi
sambal belacan



 1. Ikan direbus dan diambil dagingnya. Blender daging ikan menggunakan air rebusan.  Tulang juga dikisar berasingan dan ditapis ambil airnya.
2. Blender bahan yang bertanda*
3. Panaskan sedikit minyak. Tumis bahan yang diblender sehingga wangi dan garing.
4. Masukkan ikan yang telah diblender.
5. Tambah santan cair dan masak sehingga mendidih.
6. Tambah santan pekat, daun kesum, bunga lawang, garam dan asam keping.  Bubuh bahan perisa sekiranya mahu.
7. Sekiranya kuah terlalu pekat, tambah sedikit air.
8. Untuk menghidang, sediakan bahan sampingan.  Enak dimakan bersama dengan sambal belacan.




 Sekian hidangan bundo hari ini. Jumpa lagi insyaAllah.


ibundo

Mee Ayam

Selamat berhujung minggu kepada semua. Mungkin ramai yang balik kampung minggu ini mengambil kesempatan berpuasa dan berbuka puasa bersama ibu dan juga ayah. Beruntunglah mereka yang masih mempunyai orang yang disayangi.

Bundo sudah beberapa bulan tidak menjenguk rumah kampung. Banyak sangat benda yang menghalang.  Lagipun rumah sudah lama kosong sejak emak tiada. Abah bundo pula tinggal bersama bundo di sini. Cuma bila ada masa terluang dan keinginan untuk menjejaki kenangan lalu, bundo akan pulang juga.

Apa plan untuk berbuka hari ini? Bagi yang bekerja hari inilah peluang untuk ketuk ketuk kuali dan belanga di dapur.  Kalau selalunya singgah di pasar ramadhan kerana tidak punya masa untuk memasak, hari inilah nak tunjuk bakat.  Betul?




Pagi ini bundo ingin berkongsi resepi mee ayam. Tapi cuma orang rajin saja yang ingin membuatnya kerana persediaan yang agak banyak. Sebelum membuatnya anda perlu sediakan stok ayam terlebih dahulu untuk membuat kuahnya.

 
Bahan:
1 bungkus mee kuning dicelur sebentar
Gaul rata mee bersama:1 sudu kecil kicap masin,1 sudu kecil sos tiram,1 sudu kecil minyak bijan dan ketepikan.

Bahan kuah:
2 ulas bawang putih dicincang halus
3 ulas bawang merah dihiris nipis
1 cm halia diketuk
1 sudu besar serbuk stok ayam
½ sudu teh serbuk lada  sulah
1200 ml air stok ayam hasil rebusan tulang ayam, dua tangkai daun seleri, 1 batang lobak.
Cara:
1.       Untuk stok ayam, rebus tulang ayam bersama daun seleri dan lobak bersama 1500 ml air. Biarkan bahan direbus selama 20 minit.  Tapis dan ambil airnya sahaja
2.       Tumis bawang putih, bawang merah dan halia sehingga wangi.  Masukkan ke dalam air stok ayam bersama serbuk stok ayam, garam dan lada sulah. Masak sehingga mendidih dan ketepikan.







Bahan tumisan ayam:
4 ketul peha ayam dipotong dadu besar
2 ulas bawang putih dicincang kasar
3 ulas bawang merah dihiris nipis
1 cm halia dicincang halus
8 biji cendawan butang dalam tin dibelah dua
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
½ sudu teh serbuk lada sulah
200 ml air
1 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan 1 sudu besar air
Garam secukupnya

Cara:
1.       Untuk tumisan ayam, panaskan sedikit minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan halia sehingga naik bau.  Masukkan ayam dan gaul rata. Masukkan cendawan butang berserta sos tiram, kicap, serbuk lada sulah dan air. Tambah tepung jagung dan garam secukupnya.  Masak sehingga kuah pekat. Ketepikan.






Bahan pelengkap:
100 gm tauge
100 gm sawi dipotong dan dicelur
2 batang daun saderi dihiris
2 batang daun bawang dihiris
2 biji cili merah dihiris

Cara hidangan: Letak mee ke dalam mangkuk. Bubuh kuah.  Letak tumisan ayam dan bahan pelengkap di atasnya.

Well... bundo cuma kongsikan di sini. Terpulanglah kalau nak mencubanya tapi rasanya agak enak.

ibundo