Air mata kasih

Salam kasih sayang diucapkan kepada pengunjung dapur bundo ini. Semuga kalian sihat walafiat dan telah bersiap sedia untuk menyambut Ramadhan yang akan menjelma beberapa hari sahaja lagi.
Mungkin hidangan bundo pada hari ini boleh dijadikan sebagai salah satu juadah untuk berbuka puasa, insyaAllah.



Bahan yang akan bundo letak di sini adalah sebagai panduan sahaja sebab bundo tidak menyukatnya betul-betul bila bundo membuatnya.  Dalam kata lain, bundo main campak-campak saja.  Tapi insyaallah bagi anda yang telah biasa memasak, anda tahu konsistensi yang diperlukan. Bagi yang tidak biasa memasak dan baru belajar nak masak, jadikanlah sukatan bundo ini sebagai panduan.



 bahan air mata:
1 cawan labu yang telah direbus dan dilenyek
1 1/2 cawan tepung pulut
2 sudu besar gula castor
2 titik pewarna kuning

bahan kuah:
600 ml santan
2 sudu besar tepung pulut dibancuh dengan sedikit air
1/2 cawan gula
1 sudu kecil garam
2 helai daun pandan




1. Labu yang telah dilenyek digaul dengan tepung beras pulut, gula dan pewarna kuning sehingga sebati. Sebaiknya, bubuh tepung sedikit demi sedikit untuk mencapai tahap kelembutan yang diperlukan. Konsistensi adunan adalah lembut sedikit daripada adunan membuat kuih buah melaka.  Jadi, sekiranya sukatan yang bundo beri ini masih lembik, bolehlah tambah sedikit tepung lagi.
2. Ambil sedikit adunan sebesar ibu jari tangan (lebih kurang), gentel menjadi lonjong dan tajam di hujungnya seperti bentuk air mata. (seperti gambar di bawah).
3. Panaskan air di dalam periuk yang dibubuh sedikit gula.  Apabila mendidih, masukkan adunan yang telah digentel tadi dan biarkan sehingga semuanya timbul. Cedok dengan penapis dan masukkan ke dalam bekas yang berisi air (air biasa)
4. Untuk membuat kuah, campurkan kesemua bahan di dalam periuk.  Masak di atas api sederhana sehingga mendidih.  Kuah mestilah dikacau selalu untuk mengelakkannya pecah minyak.
5.  Apabila sudah masak, tapis 'air mata' yang terendam di dalam air tadi dan masukkannya ke dalam kuah. Segera padamkan api.




Bagi mereka yang suka biji sagu, boleh juga dibubuh di dalam kuahnya. Tapi kali ni bundo mahukan dia just as it is. Memang berbaloi.




Labu ada lagi suku biji dalam peti ais.  Tengah pikir nak buat projek apa pula dengan labu yang tinggal tu.

Sekian.  Selamat mencuba.


ibundo


Artikel Terkait

Air mata kasih
4/ 5
Oleh

Berlangganan

Suka dengan artikel di atas? Silakan berlangganan gratis via email