Kerabu Mihun

Salam hari Jumaat.  Setiap kali berjumpa hari Jumaat, hati tetap berkata: dah hari Jumaat!. Bagi yang bekerja pula hari Jumaat tetap ditunggu-tunggu sebab Yey!! besok Sabtu.

Dah seminggu kita berpuasa.  Tiap-tiap hari kita berpikir apa yang perlu dimakan untuk berbuka puasa.  Harap-harap apa yang kita sediakan untuk keluarga bukan saja yang enak-enak tetapi juga berkhasiat. Sebenarnya bukan hidangan lazat saja yang perlu kita sediakan tetapi kita juga jangan lupa untuk sediakan santapan untuk rohani kita. Sudah berapa banyak amalan baik yang telah kita lakukan sepanjang seminggu berpuasa?  Sudah berapa banyak ayat-ayat alQuran yang telah kita baca. Sudahkah kita mengurangkan perbuatan yang tidak berfaedah seperti menceritakan hal orang dan sebagainya. Nauzubillah.. semuga kita dihindari daripada perbuatan yang dimurkaiNYA.

Pagi ini bundo letakkan satu resepi bundo yang telah keluar dalam majalah MIDI (keluaran ogos 1 hb). Mungkin ada di antara anda yang tidak atau belum membelinya.  Bundo kongsi di sini.



Bahan:
100 gm mihun yang telah lembut
12 ekor udang besar
50 gm tauge
2 cekak pegaga diambil daun dan batang lembut
4 keping daging salai
2 sudu besar lada hitam ajishio
1 cawan kelapa parut
2 sudu besar udang kering
6 ulas bawang merah
2 sudu besar jus lemon
1/2 sudu kecil garam




Cara:
1.       Udang dibuang kepala dan kulit.  Belah belakang udang.
2.       Masukkan udang ke dalam air mendidih sebentar dan keluarkan segera apabila bertukar warna.
3.       Goreng sebentar daging salai dan potong kepada beberapa potongan kecil.






4.       Sangrai kelapa parut sehingga kekuningan. Keluarkan.
5.       Sangrai udang kering sehingga berbau  wangi.  Keluarkan.
6.       Tumbuk udang kering dan kelapa parut.





7.       Tumbuk bawang merah separa hancur.  Gaul bersama udang kering dan kelapa parut.
8.       Dalam mangkuk besar, gaul bersama daging salai, tauge, pegaga, udang dan mihun.
9.       Masukkan bahan tumbuk, lada hitam dan jus lemon beserta garam.  Gaul rata.
10.   Rasakan asam dan garam dan boleh sesuaikan rasa mengikut selera.




Sekian.  Selamat menjalani ibadah puasa.  Sudahkah anda bersedekah pagi ini?  Mulakanlah hari-hari anda dengan bersedekah. Senyuman manis anda adalah satu sedekah dan anda pasti akan ceria sepanjang hari insyaAllah.


ibundo




Artikel Terkait

Kerabu Mihun
4/ 5
Oleh

Berlangganan

Suka dengan artikel di atas? Silakan berlangganan gratis via email