Tampilkan postingan dengan label NASI. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label NASI. Tampilkan semua postingan

Bundo's Roast Chicken Briyani

Salam. Agak lama juga gambar sup omputih di bawah tu tak bergerak-gerak.
Lebih seminggu kot.

Ahad minggu lalu semasa parking kereta di pasar borong sri kembangan, aku bertanya hasben menu dinner untuk petang tu. Hasben jawab buat je lah apa-apa asal makan. Teringat yang aku dah lama tak masak nasi briyani, aku cadang nak masak nasi briyani untuk makan malam. So, aku beli 3 ekor ayam saiz kecil dan siap dipotong empat bahagian.

Haritu pasar borong memang agak lengang.  Banyak parking space. Tak payah nak berebut
dan bertunggu-tunggu pun. Agaknya orang masih di kampung masing-masing bercuti sempena perayaan deepavali. Aku je yang dah lama tak berbondong-bondong balik kampung macam diorang.

Pendek cerita, balik rumah sambil masak untuk lunch, sambil aku marinade ayam untuk aku panggang belah petang. Aku suka perap lama-lama biar rasa spices dia masuk sampai ke dalam. Lepastu aku masukkan je besen berisi ayam yang aku marinade tu dalam freezer. Masuk dalam freezer sebab peti ais aku dah nak termuntah dengan bermacam mendaalah.
Ye la, takdelah nak suruh ayam tu beku. Sekali sekali keluarkan kejap sambil balik-balikkan ayam.  Lepastu masukkan balik dalam freezer.

Tapi tengahari tu lepas zohor aku sakit. Pinggang aku sakit. Sakit sampai aku terpaksa pergi hospital. Dan bila sampai hospital, lepas jumpa doktor, lepas cek itu cek ini, doktor masukkan aku dalam wad. Besoknya pula doktor yang lain masukkan aku dalam bilik bedah dan keluarkan beberapa ketul batu karang dari dalam buah pinggang aku. Empat hari aku duk hospital.
Begitulah ceritanya kenapa sup omputih aku tak begerak-gerak.




Sebenarnya aku dah terlupa tentang ayam yang aku dah marinade dan dah pun beku dalam freezer. Sehinggalah anak aku bertanya ayam apa yang ada dalam besen dalam freezer tu. Baru aku teringatkan nasi briyani aku yang sepatutnya aku buat ahad lepas.
So, pagi-pagi tadi lepas subuh aku keluarkan ayam supaya dia defrost.
Tengahari, dengan pertolongan anak dan bibik, aku selesaikan tugas yang tertangguh hampir seminggu.

Bahan marinade ayam:
ekor ayam dipotong 4 (aku masak 3 ekor)
1 sudu besar halia yang telah diblender
4 ulas bawang putih ditumbuk lumat
1/2 tin kecil tomato puri
2 sudu besar rempah briyani
3 sudu besar minyak zaitun
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil parsley kering
1 sudu kecil oregano

Gaul semua bahan dan perap bersama ayam. Perap sekurang-kurangnya 2 jam.
Kemudian bakar dalam oven.
Nota: Air yang dikeluarkan ayam semasa ia dibakar, enak untuk dijadikan sos.


Bahan nasi:
rangka 1 ekor ayam (kalau tak ada, bahagian tulang ayam pun okay)
500 gm beras basmathi
3 sudu besar penuh majerin/butter
1 biji bawang besar dihiris nipis
3 ulas bawang putih dihiris nipis
1 inci halia dihiris
2 sudu besar rempah briyani
1/2 tin kecil tomato puri
1 tin susu cair
1  batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum cengkih
3 biji buah pelaga

1. Rangka ayam direbus.  Air mestilah cukup untuk dibuat sup dan untuk masak nasi.
2. Panaskan majerin. Tumis bawang putih, bawang merah, halia dan rempah tumis sehingga masak. Kemudian masukkan rempah briyani. Gaul sebentar dan tutup api.
3. Bersihkan beras. Masukkan tomato puri, susu cair dan bahan yang telah ditumis.
4. Tambah dengan air rebusan ayam sehingga cukup untuk memasak nasi. Masukkan garam.
5. Tanak nasi seperti biasa. Boleh tambah daun pandan atau daun ketumbar untuk menambah wangi nasi.



Salsa:
2 batang timun
1 biji bawang besar
3 biji tomato
1 sudu kecil gula
garam
1/2 biji lemon diambil jusnya

1. Timun dibuang biji dan dipotong dadu kecil
2. Tomato dibuang biji dan dipotong dadu kecil
3. Bawang didadu
4. Gaul semua bahan

Sambal:
8 biji cili api
5 batang cili besar hijau
1 biji bawang sederhana besar
1 tangkai daun ketumbar
garam secukupnya
1 sudu besar gula
1/2 biji lemon diambil jusnya

Blender semua bahan. Masukkan ke dalam mangkuk




Ayam aku tu kan..perghhh sodaappp. Agaknya sebab seminggu kena perap.  Memanglah rasanya semua masuk dalam daging dalam tulang pun.

Sekian.


Ibundo

Nasgor

Ek ele... nasi goreng je pun.  Jadiklah.. Dalam masa sibuk cenggini, ini saja lah yang sempat bundo hidangkan.
Apa kabar semua.  Selamat berpuasa kepada yang berpuasa sunat harini.



Tidak ada apa istimewanya nasi goreng ini.
Hari sebelumnya bundo buat spageti dan sos spageti masih ada berbaki. Sayang kalau tak digunakan.
Jadi, bundo cuma potong beberapa batang sosej, belah beberapa biji chicken balls dan dadu sedikit capsicum merah kuning hijau untuk mendapatkan warna pada makanan. Untuk mendapatkan pedas bundo tumbuk 5 biji cili api.




Bundo tumis bawang putih, bawang merah dan cili api. Kemudian masukkan sosej dan chicken balls. Bila dah elok bergaul, bundo curahkan kuah spageti.  Masukkan capsicum dan nasi. Gaul je lah sampai rata dan nasi masak.




Rasanya? Jadilah nasi goreng bolognese hehe..
Sekian. Bundo nak kawenkan anak hujung minggu ni.  Sebab tu sibukkkkk sangat.
Rindu kat you all. Tak sempat nak  jenguk-jenguk dapur you all pun.


ibundo

Rice Salad

Menghayati pagi yang indah. 
Cuaca nyaman. Unggas bercicipan terbang dan hinggap di dedahan. Bayu bertiup lembut menyapa daun yang melambai perlahan-lahan.
Perut juga sudah diisi. Sarapan apa pagi ini? Bundo masak roti jala. Dipagi buta bundo mencari pewarna hijau, terlupa yang botolnya sudah kosong dan dibuang semalam ketika membuat apam. Mencari lagi terjumpa pewarna kuning. Bila sudah dibancuh ke dalam adonan rupanya yang ku sangka kuning itu sebenarnya oren. Ah.. oren pun orenlah. Memang mata selalu menipu.  Bukan gitu?

Dinner semalam teragak membuat rice salad. Bagi yang menngamalkan diet, elok sangat-sangatlah makan rice salad ini. Tak payah makan lauk yang pelbagai.  Lauk pauk yang menggembirakan pakcik kolesterol dan makcik hipertensi boleh diketepikan. Err.. itupun kalau ada ketahanan jiwa dan raga.



Bahan ( untuk 1 atau 2 orang makan)

1 cawan nasi
1/2 batang timun jepun didadu kasar
4 biji baby tomato dibelah 2
2 kelopak daun salad dipotong kasar
daun bawang dan celery dipotong pendek
1/2 batang cili merah dihiris
1 sudu besar minyak zaitun xtra virgin
1 sudu besar mayonis
sedikit lada hitam
garam secukup rasa
1 sudu besar jus lemon
sedikit parutan kulit lemon

Cara:
- Masukkan minyak zaitun, mayonis ke dalam mangkuk.  Gaul dengan whisker.
- Tambah lada hitam, garam, jus lemon dan gaul rata.
- Masukkan parutan kulit lemon beserta timun, salad, daun bawang, celery, tomato, cili yang telah dipotong-potong.  Gaul rata.
- Masukkan nasi, gaul rata.



Sedap makan salad nasi dengan gaulan sayur yang rangup krapkrup krapkrup. Kok ada sambal belacan pun best gak ni.

Sekian.


ibundo

Nasi Bolognese

Di rumah mak tua ada kepuk padi dimana padi yang sudah dituai disimpan. Masa itu kami tidak pernah membeli beras. Kami makan beras sawah yang padinya ditanam sendiri.  Beras baru rasanya tersangat sedap. Wangi.

Untuk mendapatkan beras, emak , nenek dan juga mak tua akan menjemur padi terlebih dahulu.  Sehelai tikar mengkuang buruk akan dibentang di laman rumah. Kemudian padi diletakkan di atas tikar. Emak akan meratakan padi tersebut memenuhi semua ruang tikar kecuali bahagian tepi yang ditinggalkan sedikit supaya padi tidak terkeluar.

Selalunya burung akan datang berterbangan dan hinggap mematuk padi.  Sekiranya bundo ada ketika itu, bundolah yang ditugaskan untuk menghalau burung.  Kadang-kadang dapat upah sepuluh sen.  Kadang-kadang dapat upah aiskrim malaysia. Selalunya dapat upah makan nasi saja.

Selepas beberapa jam dijemur, padi akan diangkat dan dimasukkan ke dalam guni. Nenek akan letakkan guni beras di belakang basikal yang ada 'kariyar', mengikatnya dan membawanya ke kilang beras di pekan juasseh. Abah juga akan berbuat demikian. Ketika itu jalan dari pekan pekan juasseh ke jemapoh hanyalah denai kecil yang selalu becak ketika hujan.  Kereta abah tidak dapat masuk sehingga ke rumah.  Abah tinggalkan kereta di rumah tok ulong di juasseh.




Di kilang beras terdapat satu mesen beras yang besar. Ada corong dibahagian atasnya di mana padi dimasukkan. Ada pula satu lubang di bahagian belakang dimana hampas-hampas padi itu keluar, terlonggok terus didalam sebuah tong. Beras yang sudah diproses ditadah terus masuk ke dalam guni yang mengandungi padi tadi. Semua proses itu berlaku sekejap saja tetapi masa menunggu giliran itu yang lama.

Pada hari-hari kami makan nasi beras baru, pastinya kami makan dengan penuh berselera sekali.
Kalaulah ada benih beras basmathi, mestilah mereka mahu cuba menanamnya.




Oleh sebab bundo sudah lama tidak beriya-iya masak, semalam bundo buat nasi special. Kali ini cuba dengan rempah bolognese pula.  Cubalah. Agak sedap.


Bahan:
4 pot rice cooker beras basmathi
2 cawan stok ayam (atau 2 cawan air + 2 sudu besar stok ayam pekat maggie)
4 cawan air
3 sudu besar butter/ majerin
1 peket perencah spageti bolognese maggie
1 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
1 inci halia
1 biji bawang besar (sederhana besar)
2 ulas bawang putih
1/2 cawan kacang pecan
1/4 cawan kismis campur
2 tangkai daun ketumbar




1. Panaskan butter/majerin di dalam rice cooker. Tumis bawang, halia dan rempah tumis sehingga wangi.
2. Masukkan kacang pecan dan goreng sehingga agak garing.
3. Masukkan pula kismis, kemudian beras basmathi yang telah dicuci bersih.
4. Kacau sebentar. Tambah air, daun ketumbar, stok ayam dan perencah spageti bolognese.
5. Masak seperti biasa.



Rekalah lauk yang sesuai.  Mulanya bundo nak suaikan dengan meatballs tetapi tiba-tiba saja terasa malas.  Lagipun dah buat kari ayam.  Makan dengan kari ayam dan coleslaw.
Sebenarnya nasi saja dah sedap.

Silalah.....


ibundo

nasi cendawan claypot

Selamat berhujung minggu. Mahu bersantai-santai saja di rumah? atau ada perancangan berkualiti bersama keluarga. Apa-apa pun bundo doakan semuga kalian bergembira dan berbahagia bersama keluarga tersayang.

Nasi claypot ini bundo buat petang semalam.  Entah apa angin teragak nak buat nasi claypot. Sebenarnya pot ni dah lama benar tersimpan dalam almari tidak digunakan.  Dulu-dulu bundo ada kerajinan juga nak buat selalu tetapi bila terasa leceh nak masak banyak pot sekali gus, tu yang terssimpan tak berusik-usik. Pot bundo ni kecik cukup untuk seorang makan saja.



Bahan (untuk 1 orang):

1/2 pot beras (pot rice cooker)
1 pot air
1 ketul ayam dipotong dua (bahagian yang bertulang)
5 biji cendawan shitake dipotong nipis
1/4 biji bawang besar didadu kecil
1 ulas bawang kecil dicincang halus
1/2 sudu serbuk stok ayam
1 tangkai daun ketumbar (masukkan akarnya sekali)
1/2 sudu besar tomato puri
1/4 sudu garam (tambah sedikit kalau kurang masin)





Masukkan kesemua bahan ke dalam claypot. Jerang atas api sederhana besar.
Perlahankan api (sangaaaat perlahan)  apabila air kering supaya tidak berkerak di sebelah bawah.
Padamkan api apabila nasi betul-betul masak.  Hidang segera.





Selamat menjamu selera.


ibundo

Nasi goreng huhahuha

Setelah senyap beberapa hari bundo kembali dengan nasi goreng. Nasi goreng je.
Tapi nasi goreng berasap kepedasan.  Sebab tu huhahuha.. sambil makan sambil kipas-kipas mulut sambil jelir jelir lidah haha. Tak cukup minum air segelas.

Bukan tak sengaja buat nasi goreng pedas.  Sengaja. Saja nak merasai nikmat tersebut.



Nak cuba ke?

3 cawan nasi sejuk 
3 ketul peha ayam dipotong kecil
3 batang sosej dipotong serong
carrot dipotong julien
4 batang kacang panjang dipotong pendek
10 biji cili api
2 biji cili merah
1 biji bawang besar didadu
2 ulas bawang putih dicincang
1 sudu besar cuka
1 sudu kecil serbuk stok ayam
garam secukkup rasa

1. Tumbuk halus cili api dan cili merah
2. Tumis bawang putih dan bawang merah.  Masukkan cili.  Kacau sehingga masak.Tambah cuka.  Kacau.
3. Masukkan ayam.  Gaul rata. 
4. Masukkan sayur, sosej, garam dan serbuk stok ayam.
5. Masukkan nasi dan goreng sehingga masak.



Pastikan sediakan air secukupnya..hehe..


ibundo


Nasgor Jala

Terjumpa resepi nasi goreng dibungkus dengan telur jala, terus berdendam untuk mencuba. Untuk membuatnya senang banget. Tapi untuk percubaan pertama ini, bundo buat sikit saja.

Nasgor?  Setiap kali ke jakarta, bundo pasti akan terjumpa dengan istilah baru.  Orang indon suka mencipta istilah dengan menggabung-gabungkan perkataan sehinggakan kita susah untuk faham. Nasgor adalah gabungan perkataan nasi goreng.  Seperti juga pisgor, gabungan pisang goreng.  Jadi, untuk resepi ini bundo pinjam perkataan mereka, nasgor, nasi goreng.




Resepi asalnya bundo ambil dari majalah sedap bilangan 44.  Asalnya, nasi goreng yang dibuat adalah nasi goreng tomato tetapi bundo gantikan dengan nasi goreng tomyam.

Bahan jala:
3 biji telur
3 sudu besar tepung gandum
secubit garam
setitik pewarna kuning
1 sudu besar air

Bahan nasgor:
500 gm nasi putih
1 dada ayam sederhana besar didadu
3 ketul bebola ikan didadu 
1 biji bawang putih dicincang halus
2 ulas bawang merah dihiris nipis
4 batang daun bawang dipotong kecil
1 sudu besar pes tomyam
garam secukupnya





Cara membuatnya:
1. Jala: Pukul ringan telur, garam dan air. Tuang perlahan sedikit demi sedikit ke dalam tepung gandum dan kacau rata supaya tidak bergentel.  Sekiranya bergentel, putar sebentar didalam blender.
2. Masukkan ke dalam karung plastik tiga segi. Potong hujungnya untuk membuat lubang (jangan besar). Buat lorekan di atas kuali tidak melekat seperti membuat roti jala (cuma yang ini guna lubang satu). Ketepikan. (Dapat 4 keping telur jala)
3. Nasgor: Panaskan sedikit minyak.  Tumis bawang merah dan bawang putih.  Masukkan ayam, kacau sehingga berubah warna.  Masukkan bebola ikan. Gaul.  Masukkan pes tomyam dan garam.  Gaul.  Masukkan nasi putih dan gaul rata.  Bila hampir masak, masukkan daun bawang.
4. Bentang sehelai jala, letakkan nasi goreng dan bungkus kemas.



Sekian, yumm..yumm..

ibundo