Sushi serunding ikan

Isnin cuti.  Tak pergi kemana-mana?
Rabu lepas krew satu majalah ni datang ke rumah bundo ambil gambar-gambar laksa yang disuruh buat. Ada 4 jenis laksa semuanya. Walaupun buat-sikit-sikit tapi kalau dah 4 jenis puas jugalah makan sampai ke malam.

Bila ada kuah yang berlebih, tentulah sayang nak buang. Lebihan kuah itu bundo masak sehingga betul-betul kering dan jadilah ia serunding ikan.  Untuk elakkan terasa masin, bundo tambah dengan jus dari sebiji lemon. Bibik makan gaul-gaul dengan nasi panas saja. Sedap, katanya.




Bundo tengok seaweed lebihan buat sushi dulu ada lagi dalam lemari. Timbul pula idea untuk buat sushi serunding ikan sebab banyak kali terlihat dalam majalah orang buat sushi serunding.
Oleh kerana nasi khas untuk sushi tak ada, bundo guna nasi biasa saja.




Bahan:
Seaweed
Nasi
Cuka nasi
Serunding ikan
Carrot dipotong mancis halus memanjang
timun jepun dipotong halus memanjang
cili merah dipotong halus memanjang
beberapa keping sayur salad
Tikar penggulung sushi

1. Nasi yang masih panas dilenyek-lenyek dan dicampur dengan beberapa sudu cuka nasi. Sesuaikan dengan rasa yang dikehendaki.
2.  Bentang tikar penggulung sushi.  Letak sekeping seaweed. Ratakan nasi di atasnya (tinggalkan kosong sedikit di bahagian hujung sebelah depan).
3.  Letak serunding memenuhi atas nasi.
4. Letak kepingan salad di bahagian sebelah tepi berdekatan dengan badan. Susun timun, carrot dan cili di atasnya.
5. Gulung padat.
6. Potong mengikut suka.






Boleh juga buat variasi lain.
Sekian.

ibundo

Gulai Rusa

Semasa bundo berada di dalam darjah 3 disekitar tahun enam puluhan, abah bundo berpindah mengajar di tanah felda ayer hitam Bahau. Masa itu tanah tersebut baru diterokai. Masih banyak hutan dan belukar di sana sini.  Malah di belakang kuarters guru yang yang kami duduki masih tebal dengan kayu kayan.

Ayam denak berkeliaran sampai di belakang dapur. Untuk menangkapnya abah cuma perlu memasang jerat atau menembaknya. Kami mewah dengan daging pelanduk, daging kijang, daging rusa dan daging landak. Ayam denak lagi tak usah dicakap selalunya makan.

Ada kalanya pelanduk ditangkap hidup-hidup dan dimasukkan ke dalam sangkar di belakang rumah. Memang ketika itu abah bundo sering sangat masuk ke dalam hutan memburu binatang-binatang tersebut. Setiap kali pulang dari berburu, ada saja hasil yang dibawa.

Kini semua itu hanya tinggal kenangan.





Baru-baru ini sepupu bundo membawa daging rusa dan bundo menggulainya mengikut permintaan abah.

Bahan:
1 kilo daging rusa
2 inci lengkuas *
2 inci halia *
6 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
4 biji buah keras *
2 batang serai *
15 biji cili api *
2 inci kunyit hidup *
1 kilo santan
1000 ml air
2 biji kentang dibelah 4
2 keping asam gelugur




1.  Blender bahan bertanda di dalam periuk*.  Perap bersama daging lebih kurang 1 jam. Letak juga garam.
2.  Letak di dapur dan nyalakan api.  Biar ke semua air daging keluar.
3.  Masukkan air dan masak dengan api perlahan sehingga air hampir kering baru masukkan santan.
4.  Tambah kentang apabila daging agak empuk.
5.  Masukkan asam keping bila kentang empuk.

Abah makan dengan berselera.  Bundo makan sikit saja.  Bukan tak suka tapi setiap kali makan daging, mesti nak kena cungkil gigi hehe.

Sekian.

ibundo


Rozel Lemon

Apa kabar.  Agak lama juga bundo menyepi.  Maaf tak menjawab komen dalam n3 lepas. Bundo ada bizi sikit sebab membuat beberapa projek... haha projeklah sangat.
Kesian juga pada yang lalu lalang tepi dapur bundo ni asek je lah tengok donat keledek. Lagi sekali nak cakap, donat keledek itu sangatlah sedap hokey? Siapa yang masih teragak-agak nak buat ke tak nak buat, baiklah buat.

Kali ni bundo sediakan air ajelah ye.  Dahaga tu jalan kehulu kehilir hehe. Air ni penyedap tekak sesiapa yang tersangat dahaga.

Semasa bundo ke rumah kakak bundo di lembah keramat, dia bagi satu plastik besar bunga rozel.  Dulu bundo ada tanam pokok rozel di belakang rumah tapi sekarang dah mati sebab tumbang ditiup angin kuat. Nak tunggu hidup balik tak taulah bila.

Nak buat jus rozel senang saja.  Cuma rebus bunga rozel dalam periuk dan bubuh gula sesedap rasa.  Rebus sehingga warna-warna rozel itu keluar semuanya.  Hampasnya pula jangan dibuang.  Boleh diblender dan dibuat jem.




Untuk minuman ini, cuma tuang beberapa sudu rozel di dalam gelas dan perahkan dengan lemon sesedap rasa.  Tambah ais. Yumyum..



Silalah.  Kena hirup je sebab bundo terlupa nak letak straw.


ibundo

Donat Keledek

Orang dah lama buat donat ni bundo baru nak terhegeh-hegeh. Jiran bundo ada memberi keledek cukuplah besar.  Bundo dah tak tau dah nak buat apa dengan cik keledek ni. Goreng sudah, pengat sudah, masuk dalam kuah mee sudah tapi masih ada juga yang tinggal. Maka teringatlah pula pada donat ubi kentang kak wan yang telah ditukar-gantikan pada donat keledek yang menjadi satu hidangan hangat tak lama dulu. Bundo tak ingat siapa yang mulakan donat keledek ni. Tapi bundo ingat yang asalnya adalah dari kakwan. So, kakwan.. bundo letak resepi kakwan di sini yang telah diganti dengan keledek.



 Resepi asal :  Citarasawan

400 gm tepung gandum
11 gm ragi instant
200 gm keledek (asalnya ubi kentang)
2 sudu besar susu pekat manis
100 gm gula halus
75 gm mentega
1 biji telur
1/2 sudu teh garam
120 ml air

Gula aising untuk salutan
Minyak untuk menggoreng




Cara:
1. Kupas keledek, rebus empuk dan lenyek hingga halus ketika masih panas, sejukkan.
2. Satukan tepung, gula dan yis.  Gaul rata. Masukkan keledek lenyek dan bahan lain kecuali air. Gaul rata dan masukkan air sedikit demi sedikit dan uli sehingga menjadi doh yang elastik (bundo pakai pengandun roti)
3. Rehatkan adunan selama 15 minit dan tutup dengan kain/plastik sehingga mengembang.
4. Canai dan terap dengan acuan donat dan letak di atas dulang yang ditabur dengan sedikit tepung. Rehatkan selama 20 minit lagi sehinga mengembang.
5. Panaskan minyak dan goreng sehingga kekuningan.  Salut dengan gula aising.





Sedap.  Lembut. Orang yang tak ada gigi boleh kunyah pakai gusi aje hehe...

Sekian.


ibundo


ikan merah masak asam

Pagi tadi sibuk masak sebab anak-anak mengajak kawan-kawan mereka datang makan-makan sempena syawal yang belum berakhir.  Sementelah dah masak, bundo ajaklah juga staff yang tak berapa kerat tu  datang sama.  Bundo masak ala kadar saja dengan bantuan anak-anak dan bibik.

Selesai masak bundo lari sekejap ke pasar seni di kl sebab menemankan sepupu membeli cenderahati untuk dibawa pulang ke jakarta. Lama sungguh bundo tidak ke sana. Sepupu-sepupu bundo sibuk mencari barang kenangan, bundo sibuk mencari barang untuk bundo jadikan prop untuk fotografi. Yang bundo puas hati sangat, bundo dapat penepuk lalat yang dibuat daripada rotan haha. Sebelum ni bundo beli yang plastik tetapi sekejap dah rosak dikerjakan dek faris cucu bundo.




Lauk ikan ni bundo buat semalam. Sedap dihirup hirup kuahnya dan dimakan bersama nasi panas.  Tapi ikan sekarang ni mahal sungguh. Kalau nak dibandingkan dengan ayam, lebih murah ayam tapi sebab dah muak makan ayam, belilah juga ikan walaupun mahal.  Satu ekor ikan merah ni harganya 32 ringgit.  Ayam sekor baru 12 ringgit.





Bundo masak satu ekor ikan merah sebab yang makannya ramai. Adjustlah bahan ye..
1 ekor ikan merah
1 inci lengkuas sebesar ibu jari kaki *
1 inci halia *
4 biji buah keras *
6 biji cili merah (cili besar) *
2 keping asam gelugur *
6 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
2 batang serai diketuk
1 kuntum bunga kantan dibelah 2
1 helai daun kunyit dikoyak-koyak
6 biji bende
2 biji tomato dipotong dan buang biji




Blender bahan yang bertanda *.  Tumis dengan sedikit minyak sehingga naik bau.
Masukkan air (pandai-pandailah mengagak).  Masukkan serai, bunga kantan dan daun kunyit.
Apabila mendidih, masukkan ikan.
Masukkan garam dan asam keping.
Masukkan pula bende dan tomato apabila hampir matikan api supaya sayur tidak lembik.



Sekian.

Salam dari,
ibundo

Sandwich

Pagi tadi panas. Tengahari ni dah mendung macam nak hujan.  Begitulah cuaca sekarang ni kan? Kurang menentu.
Begitu jugalah dengan selera bundo. Juga tak menentu.  Haritu semasa berbuka puasa bundo makan ala kadar tetapi lepas tu teringat sangat nak makan kfc. Bundo ajak anak bundo meredah malam pergi beli ayam goreng.  Mula-mula memang nakkan kfc tetapi separuh jalan bertukar pada ayam goreng mcD.  Bukan nak makan sangat pun.  Makan seketul aje pun dah cukup.






Pagi ni teragak nak makan sanwich telur goreng.
Tengok dalam peti ais ada pula kepingan ayam salai. Bundo bakar roti keping gardenia dan lapis-lapiskan salad, tomato, ayam salai, timun dan letak telur goreng atasnya.  Kalau ada cheese memang dah bundo bubuh dah.



Lepas tu minum dengan kopi halia.  Bundo rebus air, ketuk halia dua tiga keping dan masukkan dalam rebusan air. Biar mendidih beberapa ketika sampai rasa halia keluar.  Kemudian tuang dalam gelas dan masukkan kopi 3 in 1.  Boleh buang angin sampai tak lekat wudhu' hehe..



Bundo suka makan telur yang kuningnya masih meleleh-leleh. Adakalanya berebut-rebut dengan anak-anak nak cucuk telur kuning dan kaut dengan sudu, lepas tu ngap dalam mulut. Nikmatnya makan telur kuning yang masih lembut begitu. Tapi hasben bundo tak bagi makan telur kuning sebab takutkan kolesterol yang tinggi. Jadi, sekali sekal sajalah bundo makan.




Sebelum makan sanwich ni, sempatlah juga dia berposing sana sini depan kamera bundo. Hmmm... nak?


Sekian.


ibundo

Rendang Minang

Sudah beberapa hari bundo tidak masuk ke dapur. Agak bizi juga sejak hari Khamis sebab ada sedara mara datang dari jakarta. Hari Khamis datang 8 orang.  Hari Jumaat datang lagi 4 orang. 12 orang semuanya. Tujuan utama mereka kemari kerana sepupu bundo mengadakan majlis perkahwinan anaknya pada hari Ahad lepas. Begitulah kami.  Kalau ada sedara di sebelah sini yang membuat kenduri kahwin, ada saja yang datang dari jakarta.  Kalau ada anak mereka yang berkahwin, kami pula akan ke sana.

Hari Ahad depan ada seorang lagi sepupu mengadakan majlis perkahwinan anak. Ada di antara  mereka yang sudah pulang kerana urusan pekerjaan tetapi ada lagi 4 orang yang masih menunggu sehingga majlis Ahad depan selesai.

Sebenarnya talian persaudaraan kami agak kuat. Datuk bundo berasal dari tanah minang. Bila datang ke tanah melayu dia berkahwin dengan nenek bundo dan mendapat 7 orang anak termasuk abah bundo. Sedangkan di minang sana datuk bundo juga mempunyai isteri lain dan mempunyai beberapa orang anak. Jadi, abah bundo mempunyai adik beradik lain yang satu bapa.



Pada tahun 1997, bundo ke jakarta mencari sepupu-sepupu bundo yang tinggal di sana berdasarkan surat menyurat yang di hantar oleh bapa saudara bundo iaitu abang kepada abah. Alhamdulillah, jejak kasih itu telah mempertemukan kami dan jalinan pertalian itu kekal sehingga kini dan di harap berterusan sehingga ke anak cucu.
Begitulah ceritanya.




Berbalik kepada rendang minang ini,  setiap kali kemari kak Amismar akan membawa rendang minang.  Abah bundo cukup menggemarinya dan menyuruh bundo belajar membuatnya. Sebelum ini oleh sebab mereka datang untuk jangka waktu yang singkat dan habis dengan menyoping dan muter-muter keliling kl, maka kesempatan untuk menunjukkan secara praktikal tidak berkesempatan. Kak Mis cuma mengajar secara teori saja dan bila bundo praktikkan ia tidak berapa menjadi.

Pagi tadi, oleh kerana masa pun ada, kak Mis menunjukkan cara membuat rendang minang yang betul. Hasilnya... waduh.. sedap banget.

1 kilo daging
4  biji kelapa diambil santan pekat (santan cair diketepikan untuk blender bahan)
2 batang serai dihiris *
4 ulas bawang merah *
3 buku bawang putih *
sebesar ibu jari kaki halia dihiris nipis *
3 kali ganda besar halia, lengkuas dihiris nipis *
8 helai daun limau purut diracik *
1 helai daun kunyit yang agak lebar diracik *
cili api mengikut kepedasan yang dikehendaki *
1 sudu besar lada putih




1. Santan pekat dijerang sehingga agak pekat.
2. Bahan-bahan bertanda * diblender bersama sedikit santan cair dan garam dan digaul dengan daging yang telah dipotong-potong. Perap sebentar.
3. Masukkan daging ke dalam santan dan masak sehingga kering. Rasakan garamnya.

Nota: Apabila kuah pekat dan merecik-recik, ia hendaklah sentiasa di kacau/ aduk supaya tidak melekat.


Selepas rendang siap, bundo keluar mencari lemang.  Rendang ini dimakan dengan lemang, aduhhhh.. tak terkata sedapnya.

Sekian.

ibundo