Rendang Minang

Sudah beberapa hari bundo tidak masuk ke dapur. Agak bizi juga sejak hari Khamis sebab ada sedara mara datang dari jakarta. Hari Khamis datang 8 orang.  Hari Jumaat datang lagi 4 orang. 12 orang semuanya. Tujuan utama mereka kemari kerana sepupu bundo mengadakan majlis perkahwinan anaknya pada hari Ahad lepas. Begitulah kami.  Kalau ada sedara di sebelah sini yang membuat kenduri kahwin, ada saja yang datang dari jakarta.  Kalau ada anak mereka yang berkahwin, kami pula akan ke sana.

Hari Ahad depan ada seorang lagi sepupu mengadakan majlis perkahwinan anak. Ada di antara  mereka yang sudah pulang kerana urusan pekerjaan tetapi ada lagi 4 orang yang masih menunggu sehingga majlis Ahad depan selesai.

Sebenarnya talian persaudaraan kami agak kuat. Datuk bundo berasal dari tanah minang. Bila datang ke tanah melayu dia berkahwin dengan nenek bundo dan mendapat 7 orang anak termasuk abah bundo. Sedangkan di minang sana datuk bundo juga mempunyai isteri lain dan mempunyai beberapa orang anak. Jadi, abah bundo mempunyai adik beradik lain yang satu bapa.



Pada tahun 1997, bundo ke jakarta mencari sepupu-sepupu bundo yang tinggal di sana berdasarkan surat menyurat yang di hantar oleh bapa saudara bundo iaitu abang kepada abah. Alhamdulillah, jejak kasih itu telah mempertemukan kami dan jalinan pertalian itu kekal sehingga kini dan di harap berterusan sehingga ke anak cucu.
Begitulah ceritanya.




Berbalik kepada rendang minang ini,  setiap kali kemari kak Amismar akan membawa rendang minang.  Abah bundo cukup menggemarinya dan menyuruh bundo belajar membuatnya. Sebelum ini oleh sebab mereka datang untuk jangka waktu yang singkat dan habis dengan menyoping dan muter-muter keliling kl, maka kesempatan untuk menunjukkan secara praktikal tidak berkesempatan. Kak Mis cuma mengajar secara teori saja dan bila bundo praktikkan ia tidak berapa menjadi.

Pagi tadi, oleh kerana masa pun ada, kak Mis menunjukkan cara membuat rendang minang yang betul. Hasilnya... waduh.. sedap banget.

1 kilo daging
4  biji kelapa diambil santan pekat (santan cair diketepikan untuk blender bahan)
2 batang serai dihiris *
4 ulas bawang merah *
3 buku bawang putih *
sebesar ibu jari kaki halia dihiris nipis *
3 kali ganda besar halia, lengkuas dihiris nipis *
8 helai daun limau purut diracik *
1 helai daun kunyit yang agak lebar diracik *
cili api mengikut kepedasan yang dikehendaki *
1 sudu besar lada putih




1. Santan pekat dijerang sehingga agak pekat.
2. Bahan-bahan bertanda * diblender bersama sedikit santan cair dan garam dan digaul dengan daging yang telah dipotong-potong. Perap sebentar.
3. Masukkan daging ke dalam santan dan masak sehingga kering. Rasakan garamnya.

Nota: Apabila kuah pekat dan merecik-recik, ia hendaklah sentiasa di kacau/ aduk supaya tidak melekat.


Selepas rendang siap, bundo keluar mencari lemang.  Rendang ini dimakan dengan lemang, aduhhhh.. tak terkata sedapnya.

Sekian.

ibundo


Artikel Terkait

Rendang Minang
4/ 5
Oleh

Berlangganan

Suka dengan artikel di atas? Silakan berlangganan gratis via email

1 komentar:

28 Oktober 2020 pukul 18.33 delete

3 buku bawang putih tu maksudnya dlm 5 ke 8 ulas atau 3 ulas?

Reply
avatar