Tampilkan postingan dengan label SAMBAL. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label SAMBAL. Tampilkan semua postingan

Terung bilis goreng pedas

Salam.

Tangan mak aku sejuk. Macam tulah orang cakap bila tanam semua menjadi.
Tanam cili buahnya sampai orang datang beli. Makan sendiri tak habis. Jual tak cukup.
Tanam terung telunjuk buahnya berjuntai-juntai. Sampaikan melambak-lambak atas tanah sebab tak terlarat nak makan terung selalu.
Tanamlah apa saja.  Mesti tak menghampakan.
Begitulah.
Tak seperti tangan aku.
Tanam cili tumbuh ranting.
Tanam bende  buahnya mengerekot macam tak cukup bitamin.
Tanam tomato jangankan nak berbuah, hidup pun tidak.
Mereka kata tangan aku panas.
Entah iya entah tidak.  Di mana kebenarannya tidaklah aku pasti. Tapi kalau mengikut logik aku, tanah tempat aku tanam semua tu macam tak cukup baja.



 

Mak aku dulu selalu masak terung telunjuk ( ada orang panggil terung melayu) goreng cili api campur ikan bilis. Berpinggan-pinggan nasi aku makan. Mungkin sebab dari kecil selalu makan terung, ia menjadi sayur kegemaran aku.  Tak kiralah terung apa.

Resepi terung bilis goreng pedas ni senang saja.
Bahan:
4 biji terung panjang dibelah dua dan potong
2 genggam ikan bilis dibersihkan, rendam dan tumbuk kasar
8 biji bawang kecil ditumbuk
3 ulas bawang putih ditumbuk
20 biji cili api di tumbuk atau diblender
4 biji cili api di potong dua
1 sudu besar cuka
1 sudu kecil serbuk stok ikan bilis
garam secukupnya




1. Bilis digoreng garing.  Ketepikan.
2. Terung digoreng sehingga masak.  Ketepikan.
3. Kurangkan minyak dikuali. Tumis bahan tumbuk hingga masak dan wangi.
4. Masukkan cili api. Goreng garing.
5. Tambah garam, stok ikan bilis dan cuka.
6. Sebelum padamkan api, masukkan terung dan ikan bilis goreng.
7. Padam api segera untuk pastikan ikan bilis kekal rangup.



Bagi mereka yang tidak gemar makan terung, mereka adalah orang yang rugi ahakss..

Sekian.

ibundo

Sambal tempoyak goreng

Selalu kalau nak makan sambal tempoyak, bundo gaul aje tempoyak dengan cili api yang telah ditumbuk halus. Makan dengan ulam petai.  Pergh..
Kalau memang dah hantu tempoyak, lauk lain tak ada pun tak apa.

Haritu teragak pula nak buat sambal tempoyak goreng.
Bundo lebihkan minyak semasa menggoreng cili supaya cili masak. Masa masukkan sambal ke dalam mangkuk, lupa pula nak mencedok keluar minyak yang terlebih.Hmm..  abaikan je lah.




10 biji cili api
3 biji cili merah
1 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
1 genggam ikan bilis
1 senduk tempoyak (lebih pun tak apa)
1 sudu jus limau/lemon
garam dan sedikit gula



Cili api dan cili merah diblender
Bawang dihiris
Ikan bilis ditumbuk kasar
Panaskan minyak.  Tumis bawang putih. Bila naik bau, tumis bawang merah.
Masukkan cili. Goreng sampai masak.
Masukkan ikan bilis.
Masukkan tempoyak, jus lemon, garam dan sedikit gula.
Goreng sehingga masak dan rasa sebati.


Lagi pedas, lagi kaw....

Sekian.


ibundo

Sambal gesek ayam dan ikan bilis

Salam hari isnin. Semuga keceriaan memihak kepada anda semua.
Alhamdulillah.  Antara tugas besar yang menanti bundo setiap hujung tahun sudah selesai Sabtu lepas. Bukan maknanya sudah boleh lepas tangan. Banyak lagi kerja yang menanti untuk memasuki sesi baru pada awal tahun depan. Semuga bundo diberikan kekuatan memandangkan bundo ni dah patut pencen goyang kaki saja di rumah sambil goyang-goyang tangan ketuk kuali belanga.



Projek sambal ini bundo buat tengahari semalam. Mulanya nak buat sambal gesek ikan bilis tapi bila tengok dalam peti ais ada mangga sebiji dan ada pula dada ayam kepsi yang tak habis dimakan, bundo beralih ke plan b. Siapa yang selalu makan sambal gesek orang nisemilan memang akan tahu rasa sambal ni. Ada keseimbangan rasa pedas, masin, masam yang menyengat di dalam mulut ketika ia dimakan. Masa bundo kecil dulu, mak bundo selalu buat sambal gesek untuk dimakan bersama pulut tanak.

Okay, yang ini versi tambahan dari bundo.  Enak juga...



Bahan:
15 ulas cili api
1 genggam ikan bilis
1 ketul dada ayam kfc (kalau tak ada, rebus seketul dada ayam)
1 biji mangga
5 ulas bawang merah
3 biji limau kasturi
garam




1. Daging ayam disiat-siat.  Ketepikan.
2. Ikan bilis direndam dalam air panas sebentar.  Tos dan ketepikan.
3. Bawang merah dihiris.
4. Mangga diparut kasar.
5. Cili ditumbuk. Masukkan ikan bilis, tumbuk kasar.  Masukkan pula bawang, tumbuk kasar.
6.  Masukkan ke dalam mangkuk.  Gaul bersama ayam, mangga dan jus limau berserta garam.
7. Seimbangkan kesemua rasa dan tambah mana yang kurang.



Makan dengan nasi panas.  Pergh!!!

Kepada pembaca yang lalu di sini bundo pohon tolong sama doakan cucu bundo Muhammad Hafiy Fakhrullah sehat segera. Ceritanya di sini dan di sini.

Sekian.


ibundo

Sambal cincaluk goreng cili hijau

Salam pagi Isnin.
Sejak subuh angin di luar sana bertiup agak kuat. Langit gelap menjanjikan titik-titik hujan akan dicurahkan ke atas muka bumi. Kilat berlegar-legar di kaki langit dan guruh sahut menyahut mengejutkan tidur anak-anak kecil.  Namun sang unggas terus saja mencicip-cicip terbang ke sana ke mari mencari rezki apa yang ada.

Tatap saja hidangan bundo pada pagi ini.




Bahan:
8 biji cili hijau besar
15 biji cili api hijau
1 biji kecil bawang besar bersaiz kecil dipotong kasar
5 sudu besar cincaluk
1/2 biji lemon diambil jusnya

Cara:
1.  Blender kasar cili dan bawang.
2.  Panaskan sedikit minyak dan goreng bahan kisar sehingga masak.
3.  Masukkan cincaluk dan perahan lemon.  Gaul rata sehingga benar-benar masak.
(Kalau suka pedas, boleh tambah cili api)




Sedap dimakan sebagai penambah selera.
Sekian.


ibundo


Sambal ikan bilis petai

Ada orang suka makan petai.  Ada orang tak suka makan petai. Ikutlah kehendak dan kesukaan masing-masing kan? Tapi kalau buat sambal bubuh petai, pergh... kalau makan gerenti tak nampak orang lalu lalang.

Ada adik-adik atau anak-anak yang tak tahu buat sambal petai? Ni bundo perturunkan ilmu.



2 senduk gulai pes cili kering (cili kering yang telah diblender)
1 cawan ikan bilis
2 papan petai
1 biji bawang besar dihiris bulat
1 biji bawang besar *
2 ulas bawang putih*
1 cm halia *
sebesar guli asam jawa dibancuh dengan 1/4 cawan air
1/2 cawan santan pekat
1 sudu besar gula
1 sudu kecil serbuk stok ayam (tak apa kalau tak bubuh)

1.  Ikan bilis dibersihkan dan direndam sebentar.  Toskan air.
2.  Petai diambil isinya dan dibelah dua.
3.  Bahan yang bertanda* diblender.
4.  Panaskan sesenduk minyak. Tumiskan bahan kisar hingga wangi.  Masukkan cili dan goreng sehingga garing/masak.
5.  Masukkan ikan bilis dan santan.  Kacau sebentar dan masukkan air asam, gula dan garam.
6.  Apabila hampir masak, masukkan bawang.  Rasakan masam, masin dan manis serata.



Sedap juga dimakan bersama dengan nasi lemak.

Sekian.

ibundo